Berita UtamaUtama

Zahid Hamidi akan beri keterangan lagi esok

3 hari berturut-turut Presiden UMNO menghadap SPRM

PUTRAJAYA, 2 Safar 1440H, Khamis – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan datang semula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini esok, untuk memberi keterangan kali kelima bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana sebuah yayasan.

Ahmad Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata, beliau akan datang lebih awal untuk memberi keterangan.

“Esok saya akan datang lagi, kemungkinan akan lebih awal iaitu dalam jam 9 pagi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan media yang bersusah payah tunggu dari pagi dan taat setia media amat saya hargai kerana membuat liputan kes ini,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan hampir sembilan jam hari ini.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri tiba pada jam 9.15 pagi tadi, meninggalkan perkarangan bangunan SPRM pada kira-kira jam 6.10 petang ini.Pada masa sama, turut diambil keterangan adalah menantu Ahmad Zahid iaitu Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff bagi membantu siasatan kes yang sama.

Selain itu, turut hadir ialah anak Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah.

Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa berkumpul di perkarangan Ibu Pejabat SPRM seawal jam 8 pagi untuk membuat liputan kes berkenaan.

Isnin lepas, Ahmad Zahid menerusi laman Twitter rasminya berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

Semalam, Presiden UMNO itu hadir ke tempat yang sama bagi memberi keterangan kali ketiga selama lapan jam bagi membantu siasatan kes yang sama.

Pada Julai lepas, Ahmad Zahid memberi keterangan sebanyak dua kali kepada SPRM berhubung kes sama. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close