Berita UtamaUtama

UMNO hilang satu lagi kerusi Parlimen

Ahli Parlimen Labuan umum sertai parti Warisan

LABUAN, 2 Safar 1440H, Khamis – UMNO hilang satu lagi kerusi apabila Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), sebentar tadi.

Rozman dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas berfikir panjang dan mendengar pandangan pelbagai pihak demi masa depan Labuan serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, Labuan memerlukan ‘empowerment’ yang cukup luas bagi bergerak lebih pantas dan rapat dengan jiran berdekatan.

“Perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memberi peluang untuk Labuan memperbaiki sistem pentadbiran peringkat struktur dan membolehkan ia keluar dari situasi di mana wilayah ini ditadbir dari jauh di Putrajaya dan kekuatannya sebagai sebahagian dari Pulau Borneo itu berkurang.

“Maka wajar pembaharuan ini bermula dengan Ahli Parlimen Labuan datang dari sebuah parti berpusat di Sabah. Saya percaya langkah ini akan menjadi lembaran baharu ke arah hubungan antara Labuan dan Sabah lebih intim dan produktif yang membawa faedah kepada kedua-duanya,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, satu fasa baharu dalam hubungan politik, ekonomi dan pentadbiran yang lebih erat antara Labuan dan kerajaan Sabah harus diwujudkan.

“Keadaan ekonomi semasa dan kedudukan Labuan dalam Malaysia yang unik berbanding dengan kawasan Parlimen lain memerlukan saya membuat keputusan ini.

“Itu juga diinginkan pucuk pimpinan Warisan yang mana calonnya hampir memenangi kerusi Labuan pada PRU14 dan kini dengan penyertaan beliau dalam parti sama, hasrat ini menjadi realiti.

“Sebagai Ahli Parlimen, rakyat memerlukan khidmat saya membantu mereka dengan segera dan tanpa membuang masa agar ekonominya dapat berkembang semula. Saya juga mahu memastikan penggal kedua saya ini cukup produktif dan bermanfaat untuk penduduk Labuan,” katanya.

Rozman adalah Ahli Parlimen UMNO yang keenam meninggalkan parti selepas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapha Mohamed bertindak demikian pada bulan lalu.

Selain itu, tiga lagi ahli Parlimen UMNO iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali turut umum meninggalkan parti berkenaan.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close