Berita UtamaUtama

Tiada perubahan cuti sekolah

Kerajaan belum terima syor cuti berperingkat ikut negeri

KUALA LUMPUR, 2 Safar 1440H, Khamis – Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang perubahan pada kalendar cuti persekolahan tahun hadapan dan ibu bapa serta guru diminta supaya jangan panik.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkataa, pihaknya belum menerima kertas cadangan atau kertas kerja daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berhubung cadangan pelaksanaan cuti sekolah secara berperingkat membabitkan negeri-negeri mulai tahun depan.

“Setakat ini belum ada apa-apa keputusan (mengenai cuti sekolah) dan perbincangan hanya akan diadakan sekiranya terdapat permintaan (daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan).

“Ada yang sudah risau dan bertanya saya mengenai perkara ini (cadangan cuti sekolah berperingkat). Kerana ada ibu bapa yang sudah mempunyai perancangan, malah ada yang sudah tempah tiket kapal terbang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Seminar Kebangsaan: Pemupukan Integriti Dalam Pendidikan di Institut Integriti Malaysia (Integriti) di sini, hari ini.

Selasa lalu, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik mencadangkan cuti sekolah diadakan secara berperingkat antara negeri bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan.

Muhammad Bakhtiar berkata, pihaknya sedang merangka cadangan itu yang akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan, membabitkan jadual cuti sekolah yang biasa diberikan pada bulan Mac, Jun dan September sahaja.

Cadangan itu menerima pelbagai reaksi daripada banyak pihak termasuk ibu bapa dan guru yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan perkara itu. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close