Berita UtamaUtama

‘Tak boleh merokok di restoran, gerai makanan tahun depan’

Larangan turut membabitkan premis makanan dan warung tepi jalan

KUALA LUMPUR, 2 Safar 1440H, Khamis – Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan, berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, arahan yang sudah diluluskan di peringkat Parlimen itu turut membabitkan premis makanan dan warung makanan di tepi jalan.

“Kita sedar arahan ini sudah lama wujud namun hanya membabitkan restoran tertentu sahaja.

“Tetapi kali ini, semua restoran tidak kira sama ada restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka (open air) perlu mematuhi arahan ini bermula tahun depan,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Dr Lee berkata, perokok dan pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit akan dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Katanya, pihak Kementerian juga sedia maklum akan timbul pelbagai reaksi atau bantahan daripada perokok dan pemilik restoran berikutan arahan ini.

Namun, beliau berkata, pihak kementerian tidak akan berkompromi apabila ia membabitkan aspek kesihatan rakyat di negara ini.

“Masyarakat bukan perokok berhak menikmati makanan tanpa gangguan pencemaran asap rokok yang boleh menjejaskan keselesaan dan kesihatan mereka.

“Peniaga juga tidak perlu risau risiko kekurangan pelanggan kerana kita yakin pelanggan akan lebih ramai kerana berasa selesa tanpa gangguan asap rokok,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close