Berita UtamaDuniaUtama

Sulawesi: Operasi pencarian berakhir hari ini

Angka korban meningkat 2,045 orang, 5,000 lagi masih hilang

JAKARTA, 2 Safar 1440H, Khamis – Kumpulan sukarelawan dan anggota keluarga akan meneruskan operasi mencari mangsa hilang akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, walaupun pencarian rasmi badan penyelamat Indonesia berakhir hari ini.

Jurucakap agensi bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, setakat ini, angka kematian terus meningkat kepada 2,045 mangsa dan 5,000 yang lain masih hilang.

Beliau berkata, lebih 80,000 penduduk di wilayah itu kehilangan tempat tinggal, dan rata-rata masih trauma dengan tragedi berkenaan.

“Mungkin 5,000 yang hilang ini tertimbus ekoran pencairan tanah yang berlaku akibat gempa dua minggu lalu.

Pencarian rasmi akan berakhir hari ini, tetapi sukarelawan dan anggota keluarga mengatakan akan meneruskan misi mencari,” katanya.

Sutopo berkata, kerajaan merancang untuk membina sebuah memorial di kawasan kejiranan iaitu Balaroa dan Petobo, bagi mengenang tragedi terbesar itu.

“Orang ramai mengalami trauma, mereka tidak mahu kembali ke tempat itu dan meminta dipindahkan ke kawasan lain,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan akan menghadkan penglibatan negara asing dalam usaha membantu, termasuk pengurusan bencana negara itu.

“Kita tidak perlu bantuan antarabangsa selain empat perkara utama iaitu khemah, unit rawatan air, penjana elektrik dan pengangkutan,” katanya.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close