Berita Utama

Rakyat terpaksa hadap ‘politiking’ UMNO tamak kuasa

Slogan bela nasib rakyat hanya tipu daya untuk raih sokongan Melayu

BANGI, 23 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Rakyat kini terpaksa berhadapan dengan ‘politiking’ UMNO yang masih tamakkan kuasa.

Mungkin ramai tidak menjangka tatkala negara berhadapan krisis pandemik COVID-19, UMNO sanggup bermain politik dengan mengusulkan undi percaya bertujuan menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ini menunjukkan pimpinan UMNO bukannya ikhlas memperjuangkan nasib rakyat, tetapi lebih mementingkan jawatan, periuk nasi dan kepentingan diri di saat rakyat menderita situasi sukar COVID-19, kata pemerhati politik, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan.

“Jelas tindakan UMNO ini tidak sedikit pun membantu rakyat bahkan terpaksa berhadapan dengan ketidaktentuan politik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Jumaat lalu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu gagal mempertahankan jawatan sebagai Menteri Besar selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan majoriti ADUN Perak.

Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hanya mendapat 10 undi sokongan.

Manakala 48 undi lagi menolak sementara satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.

Melihat pergolakan politik yang berlaku, Ustaz Ibrahim yakin rakyat semakin bijak menilai dan tindakan UMNO sebenarnya hanya menimbulkan persepsi negatif terhadap keikhlasan parti itu dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Walhal, sekarang bukan masa sesuai untuk bermain politik dalam keadaan negara masih belum stabil dari segi ekonomi serta kesan dari COVID-19.

“Kini rakyat boleh menilai slogan-slogan yang dilaungkan UMNO seperti Muafakat Nasional, perpaduan ummah dan membela nasib rakyat hanyalah tipu daya dan mainan politik untuk meraih undi dan sokongan orang Melayu.

“Hakikatnya mereka mempergunakan sentimen tersebut untuk kepentingan sendiri sahaja,” katanya.

Dilaporkan, ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dikatakan antara individu yang akan menduduki kerusi Menteri Besar Perak Ke-14.

Ia selepas semua ADUN UMNO Perak secara konsensus menamakan Saarani sebagai calon Menteri Besar yang baharu apabila telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Pengerusi Perhubungan UMNO Perak itu.

Namun, pengesahan dan perincian berkenaan nama-nama calon Menteri Besar hanya akan diketahui selepas istana mengeluarkan kenyataan rasmi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button