Berita UtamaDunia

Rakyat Gabon turun ke jalanan rai penggulingan Presiden Ali Bongo

Tentera rampas kuasa selepas dakwa pilihan raya berunsur penipuan

DOUALA, 14 Safar 1445H, Khamis – Rakyat di Gabon beramai-ramai turun ke jalan raya untuk meraikan penggulingan kerajaan pro-Perancis, Presiden Ali Bongo.

Semalam, penduduk di ibu negara Libreville dan beberapa bandar lain berkumpul untuk meraikan penggulingan Ali, beberapa jam selepas pegawai kanan tentera mengumumkan rampasan kuasa dan penahanan presiden yang baru dipilih semula itu di bawah tahanan rumah. 

Rampasan kuasa tentera berlaku beberapa minit selepas keputusan pilihan raya presiden menunjukkan Ali memenangi penggal ketiga yang didakwa ditipu, seterusnya melanjutkan pemerintahan 55 tahun keluarganya di negara kaya minyak, Afrika Tengah.

Pemimpin rampasan kuasa mendakwa bahawa pilihan raya yang diadakan pada hujung minggu adalah tidak boleh dipercayai, mendorong mereka untuk merampas kuasa kerana berunsur penipuan.

Pemerhati antarabangsa juga telah mengkritik pilihan raya tersebut.

Penentang berkata, keluarga Ali hampir tidak melakukan apa-apa untuk berkongsi kekayaan minyak dan perlombongan negeri itu dengan 2.3 juta penduduk negara selama lebih setengah abad mentadbir Gabon.

Jurucakap kerajaan Perancis, Olivier Veran berkata, Paris memberi perhatian menyaksikan peristiwa itu dan mengulangi keinginan untuk melihat keputusan pilihan raya dihormati.

Perancis mempunyai kira-kira 400 tentera yang ditempatkan secara tetap di Gabon untuk latihan dan sokongan ketenteraan, termasuk di pangkalan di ibu negara Libreville, selain mempunyai hubungan ekonomi yang meluas dengan negara Afrika itu dalam sektor perlombongan dan minyak.

Sementara itu, Jerman juga mengecam rampasan kuasa itu sambil mengakui terdapat kebimbangan dengan pemilihan yang mendahului pengambilalihan tentera negara Afrika tengah itu.

“Ia bukan terpulang kepada tentera untuk campur tangan secara kekerasan dalam proses politik. Rakyat Gabon mesti boleh menentukan masa depan mereka secara autonomi dan bebas,” kata Kementerian Luar Jerman.

Jurucakap keselamatan negara White House, John Kirby juga berkata, Amerika Syarikat (AS) amat prihatin dengan peristiwa di Gabon.

Kirby berkata, semua kakitangan dan tentera kedutaan AS telah diambil kira selepas pegawai itu menggulingkan kerajaan pro-Barat Presiden Bongo.

“Ia amat membimbangkan kami. Kami akan kekal sebagai penyokong rakyat di rantau ini, penyokong rakyat Gabon dan tuntutan mereka untuk tadbir urus berdemokrasi,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button