Berita UtamaUtama

Pesta arak paparkan konsep rahmatan lil alamin ala PH

Oktoberfest lambang penghinaan kepada Islam di Malaysia

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Safar 1440H, Khamis – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) kecewa dengan sikap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan golongan Islamis dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana membiarkan pesta arak, Oktoberfest 2018, berlangsung dengan mudahnya di negara ini.

Ketua Pemudanya, Muhammad Farid Hussin, berkata, sebelum ini, Khalid sendiri yang menjadi Ahli Parlimen Shah Alam melaungkan hasrat menutup kilang arak terbesar di Malaysia yang terletak di kawasannya, namun kini sebaliknya yang berlaku.

“Kalau dulu berdegar-degar ingin menutup kilang arak jika dapat kuasa, kini bukan sahaja tak tutup kilang arak, malah memberi ruang sebesar-besarnya kepada maksiat ini.

“Adakah ini konsep rahmatan lil alamin yang ingin diterapkan oleh kerajaan PH?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Khalid berkata, penganjur pesta itu boleh membuat permohonan permit dan mematuhi syarat yang ditetapkan, sekiranya mahu mengadakan Oktoberfest 2018.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan daripada penganjur pesta arak itu yang dijadualkan berlangsung di Mid Valley hari ini.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya tidak menghalang pesta itu, selagi ia diadakan secara tertutup dan tidak melanggar undang-undang.

Farid berkata, pesta arak itu lambang penghinaan kepada Malaysia kerana Islam adalah agama Persekutuan.

“Perlembagaan dan agama Islam membenarkan orang bukan Islam untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing, tetapi bukan untuk mempromosi budaya yang tidak baik, malah terdapat banyak kerosakan yang boleh berlaku disebabkan arak.

“Hujah yang mengatakan bahawa pesta ini tiada kena mengena dengan orang Islam juga adalah sangat jahil dan berniat jahat. Kesan buruk minum arak seperti kemalangan jalan raya dan jenayah seksual bukan terhad kepada bukan Islam, tetapi turut membabitkan orang muslim,” katanya.

Beliau berkata, agama lain juga tidak menggalakkan amalan minum arak, apalagi mengadakan pesta besar-besaran seperti Oktoberfest. 

“Hanya kerana mereka tak mahu mengikut apa yang diajar oleh agama masing-masing, jangan memaksa orang Islam untuk mengikut hawa nafsu tanpa batasan mereka,” tegasnya.

Sebelum ini, pesta arak sedemikian pernah diadakan buat pertama kalinya pada 2012 – sebagai merayakan pembuatan arak ‘beer’ di Malaysia. Ia diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur dengan kehadiran 200 orang pengunjung. 

Pada tahun 2016, pesta arak ini sekali lagi diadakan di Publika Shopping Gallery dengan menyediakan 150 jenama arak dan dihadiri oleh 3,500 orang. 

Bagaimanapun tahun lalu, DBKL menolak permohonan MyBeer (M) Sdn Bhd  untuk menganjurkan pesta arak ‘Better Beer Festival’.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close