Berita UtamaUtama

Jual aset Khazanah, PNB nodai amanah jaga Bumiputera

Usah ambil langkah 'smokescreen' tutup kelemahan PH: Pemuda

BANGI, 2 Safar 1440H, Khamis – Rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak menjual aset Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) disifatkan sebagai tindakan yang menodai kepentingan dan amanah diberikan, khusus bagi menjaga Bumiputera.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO memandang serius kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua bahawa penjualan aset bukan teras dan bukan strategik kedua-dua syarikat berkiatan kerajaan (GLC) itu perlu dilakukan.

Naib Ketua Pemuda, Shahril Sufian Hamdan berkata, PNB secara khusus telah berjaya meningkatkan penyertaan Bumiputera sehingga 85 peratus daripada 13 juta pelaburnya.

“Jika dilihat pula kepada aset terkumpul PNB tahun 2017, ia telah pun mencecah RM279.2 bilion dan andai dikumpulkan bersama aset pegangan Khazanah pula yang berjumlah RM157.2 bilion, ia akan mencapai nilai RM436.4 bilion.

“Dengan jumlah aset sebanyak itu, jikalau aset tidak strategik bagi kedua-dua entiti dianggarkan sekitar hanya 5 peratus pun dari jumlah penuh, maka nilainya adalah sekitar RM22 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tony Pua bahawa Khazanah PNB dijangka mengkaji semula dan mencairkan beberapa ‘aset yang tidak strategik’ sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan kerajaan.

Mengulas lanjut, Shahril Sufian berkata, Khazanah dan PNB adalah pelabur jangka panjang yang juga mempunyai tanggungjawab memastikan kelangsungan dan keupayaan mereka membayar dividen, termasuk ASNB.

“Lebih umum lagi, kadar peratusan ekuiti Bumiputera dalam Malaysia yang dilaporkan berada pada tahap 23.5 peratus, sebahagian besarnya adalah daripada sumbangan pelaburan dan aset PNB,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenapa kerajaan tergesa-gesa menjual aset pegangan Khazanah dan PNB.

“Jika dilaksanakan, apa proses bagi mengenal pasti aset-aset tidak strategik atau tidak teras tersebut – apakah parameter penilaiannya, apakah skop dan jenis aset yang dimaksudkan? Dan syarikat swasta mana yang mampu beli aset-aset ini?

“Adakah langkah drastik ini semata-mata mahu mengambil jalan pintas mendapatkan pulangan jangka pendek ekoran banyak pelaburan PNB mencatat prestasi buruk selepas PH mengambilalih pentadbiran negara?

“Umum mengetahui prestasi negatif pasca 9 Mei ini akan menjejaskan pulangan dividen kepada pencarum. Kendalilah ekonomi dengan lebih baik; usahlah mengambil langkah penjualan aset semata-mata sebagai “smokescreen” untuk menutup kelemahan sendiri,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close