Berita UtamaDuniaUtama

Lapan suspek kes kehilangan Jamal dikenal pasti

Penulis terkenal didakwa dibunuh ejen perisik Arab Saudi

ISTANBUL, 2 Safar 1440H, Khamis – Pihak berkuasa Turki menyenarai pendek lapan daripada 15 suspek yang dikaitkan dengan kehilangan  wartawan dan penulis terkenal Jamal Khashoggi, yang disyaki dibunuh ejen perisik Arab Saudi di dalam Pejabat Konsul Besar negara itu di sini, 2 Oktober lalu.

Agensi berita Anadolu yang memetik sumber sebagai berkata, 15 warga Arab Saudi terbabit tiba di Istanbul dari Riyadh menggunakan dua jet peribadi Sky Prime Aviation bernombor HZ-SK1 dan HZ-SK2.

Sky Prime Aviation Services Ltd yang memiliki jet itu diambil alih kerajaan Arab Saudi dan dikuasai Putera Mahkota Mohammed Salman. Pengambilalihan syarikat itu dibuat ketika Riyadh menjalankan operasi besar-besaran menangkap putera diraja, menteri, wartawan dan ulama, tahun lalu.

Semakan menerusi perkhidmatan pengesan pesawat menunjukkan jet peribadi dengan nombor siri didedahkan pihak berkuasa Turki, mendarat di Istanbul pada hari Jamal hilang.

Pesawat Sky Prime pertama – HZSK2 – dinaiki sembilan anggota perisik Arab Saudi, mendarat lewat malam, manakala enam lagi perisik tiba dengan pesawat penumpang.

Pesawat Sky Prime kedua pula mendarat di Istanbul pada 2 Oktober, tetapi tidak pasti siapa yang menaikinya.

Kedua-dua pesawat itu kemudian meninggalkan Istanbul – 14 membawa semua anggota perisik, sementara seorang lagi menaiki pesawat penumpang. Jet peribadi itu tiba di Riyadh pada 3 Oktober, selepas sebuah daripadanya singgah di Dubai dan satu lagi di Mesir.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Turki dilaporkan mengenal pasti lapan daripada 15 anggota perisik itu yang terbabit dalam kes kehilangan Jamal. Mereka ialah:

1. Saad H Alzahrani, lahir pada tahun 1980, memasuki Turki pada jam 4.29 petang waktu tempatan. Dia menginap di Wyndham Grand Hotel dan meninggalkan negara berkenaan menggunakan jet peribadi milik syarikat penerbangan, Sky Prime Aviation pada jam 9.44 malam waktu tempatan;

2. Thaar Ghaleb T Alharbi, lahir pada tahun 1979, tiba di Lapangan Terbang Ataturk menggunakan jet peribadi milik Sky Prime Aviation. Dia memasuki Turki pada jam 3.41 pagi waktu tempatan dan menginap di Hotel Movenpick. Dia kemudiannya meninggalkan Turki pada jam 5.44 petang waktu tempatan;

3. Mustafa Muhammed M Almadani, dilahirkan pada tahun 1961, mendarat di Lapangan Terbang Ataturk menggunakan jet peribadi milik Sky Prime Aviation. Dia memasuki Turki pada jam 3.41 pagi waktu tempatan dan meninggalkan negara pada jam 12.18 pagi waktu tempatan keesokkannya menggunakan pesawat;

4. Meshal Saad M Albostani, lahir pada tahun 1987, memasuki Turki pada jam 1.45 pagi waktu tempatan. Dia menginap di Wyndham Grand Hotel dan meninggalkan Turki pada 9.46 pagi waktu tempatan menggunakan jet peribadi milik Sky Prime Aviation;

5. Waleed Abdullah M Alsehri, dilahirkan pada tahun 1980, mendarat di Lapangan Terbang Ataturk menggunakan jet peribadi milik Sky Prime Aviation. Dia memasuki Turki pada jam 3.41 pagi waktu tempatan, menginap di Hotel Mövenpick, dan meninggalkan negara itu jam 5:44 petang waktu tempatan menggunakan pesawat;

6. Salah Muhammed A Tubaigy, dilahirkan pada tahun 1971, mendarat di Lapangan Terbang Ataturk menggunakan jet peribadi milik Sky Prime Aviation. Dia memasuki Turki pada jam 3.38 pagi pada 2 Oktober, menginap di Hotel Mövenpick, dan meninggalkan negara itu pada 8.29 malam waktu tempatan menggunakan jet peribadi;

7. Mansur Othman M Abahussain, lahir pada tahun 1972, tiba di Lapangan Terbang Ataturk menggunakan pesawat. Dia memasuki negara itu pada jam 4.13 petang waktu tempatan dan menginap di Wyndham Grand Hotel. Beliau meninggalkan Turki pada jam 9.45 malam waktu tempatan menggunakan jet peribadi milik Sky Prime Aviation; dan

8. Naif Hassan S Alarifi, lahir pada tahun 1986, mendarat di Lapangan Terbang Ataturk menggunakan pesawat. Dia memasuki Turki pada jam 4.12 petang waktu tempatan, dan menginap di Wyndham Grand Hotel. Beliau meninggalkan negara itu pada jam 9.45 malam waktu tempatan menggunakan jet peribadi milik Sky Prime Aviation.

Sumber polis berkata, 15 warga Arab Saudi itu memasuki Pejabat Konsul Besar Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu – hari Jamal dilaporkan hilang – dan kemudian meninggalkan Turki pada hari yang sama.

Jamal yang juga rakyat Arab Saudi sering mengkritik pemerintahan Putera Mahkota Mohammed, meninggalkan Negara Teluk itu kerana bimbang ditangkap, dan tinggal di Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini wujud dakwaan bahawa pemimpin Arab Saudi secara langsung memerintahkan pembunuhan Jamal, memberi tekanan kepada AS dan sekutu lain untuk menuntut siasatan telus, dengan kemungkinan berdepan kesan serius terhadap hubungan dua hala, jika ia tidak mendatangkan hasil.

Arab Saudi bagaimanapun, menafikan sebarang pembabitan berhubung kehilangan Jamal dan tuduhan bunuh itu. Riyadh menjelaskan bahawa wartawan itu telah meninggalkan pejabat konsul berkenaan pada 2 Oktober.

Sementara itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pula mendesak Arab Saudi membuktikan Jamal meninggalkan bangunan pejabat konsul itu.

Washington Post melaporkan, perisik AS memintas komunikasi pegawai Arab Saudi yang berbincang mengenai rancangan menangkap Jamal, untuk dibawa pulang.

Laporan juga menyebut bahawa pada 2 Oktober lalu, semua pekerja di konsulat berkenaan yang terdiri daripada warga Turki diberi cuti, dengan alasan kononnya ada mesyuarat penting diplomatik. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close