Berita Utama

Penjawat awam ditahan kemuka tuntutan palsu Jualan Rahmah

Berpakat dengan pemilik syarikat guna invois maklumat palsu

ALOR SETAR, 11 Rejab 1445H, Selasa – Seorang penjawat awam wanita ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu berkaitan program Jualan Rahmah, tahun lepas.

Menurut sumber,  wanita berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah di sini, semalam.

Perintah tahanan reman selama lima hari hingga 26 Januari terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

“Suspek dipercayai menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran Program Jualan Rahmah 2023 berjumlah kira-kira RM22,000,” katanya.

Menurut sumber, suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berpakat dengan pemilik syarikat untuk menggunakan invois yang mengandungi butir palsu iaitu kuantiti jualan melebihi kuantiti sebenar yang terjual.

Katanya, perkara itu dikesan setelah mendapati invois yang dikemukakan tidak sama dengan Laporan Ringkas Program Jualan Rahmah 2023 yang dikeluarkan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Soock Wee Ei Tem ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button