Tarbiyyah

Dakwah dengan disiplin

'Daripada berubah tinggalkan kualiti baik tersemat dalam diri, kenapa kita tidak jadi agen ubah keadaan dan budaya kerja ini?'

GERAKAN dakwah sering dikaitkan dengan pekerja yang ala kadar, sambil lewa, kurang serius dan tidak bersungguh-sungguh. Ia seakan-akan telah menjadi budaya yang diterima umum. Jika ada pun beberapa orang ahli yang amat berdisiplin dan berprestasi tinggi, mereka menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya kerja sedia ada yang agak santai. Lebih parah lagi, individu-individu ini mengambil pendekatan untuk berubah dan menjadi sebahagian daripada majoriti ahli yang lain.

Daripada berubah meninggalkan kualiti baik yang telah tersemat dalam diri, kenapa kita tidak menjadi agen yang mengubah keadaan dan budaya kerja ini?

 Ya, mari kita sama-sama mulakannya hari ini!

Namun sebelum mampu melakukan perubahan, anda perlu faham akan faktor utama yang mencetus polemik ini.

Kenapa rata-rata pekerja organisasi dakwah Islam kurang berdisiplin? Adakah memang secara umumnya umat Islam amat lemah disiplin diri? Atau kerana kerja dakwah ini tidak dibayar gaji? Atau penglibatan dakwah hanya sekadar aktiviti kesukarelawanan yang dijadikan hobi?

Apapun sebabnya, anda perlu bermula dengan memberikan kefahaman yang jelas kepada setiap ahli gerakan dakwah Islam. Kefahaman inilah yang akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk sikap dan tingkah laku yang boleh dilihat dan dinilai.

Namun, kita mungkin tidak perlu lagi bercakap soal dalil dan hukum yang diajarkan oleh Islam kerana para penggerak dakwah sememangnya maklum, bahkan sebahagian besar dari mereka telahpun menghafal pelbagai ayat al-Quran serta hadis yang menyentuh perihal disiplin, pengurusan organisasi dan sifat mahmudah yang lainnya.

 Lantas apakah langkah yang anda perlu ambil, terutama sebagai ketua bagi menerapkan budaya ini?

 Saya kongsikan beberapa tips mudah:

  1. Tunjukkan contoh teladan

Tiada cara yang lebih berkesan daripada menjadi contoh teladan terhadap apa sahaja seruan dan agenda yang anda ingin jayakan. Inilah method Rabbani dan teknik yang ditunjukkan oleh Nabi ﷺ. Sebagai contoh, jika anda ingin menerapkan disiplin menepati masa dalam kalangan ahli biro, pastikan anda hadir 10 minit lebih awal dalam setiap mesyuarat dan program yang diadakan secara konsisten.

Ya, walaupun anda mungkin perlu menunggu seorang diri. Walaupun anda mungkin berdiri lama di depan pintu yang masih berkunci. Walaupun anda mungkin perlu menyusun kerusi dan meja sendiri.

Teruskan tanpa rasa penat dan ingin rehat!

Percayalah, lama kelamaan sikap dan pendirian anda akan disedari oleh ahli pasukan yang lain. Mereka akan merasa malu dan segan, serta mula melonjakkan diri melakukan perubahan yang telah anda rintiskan. Walaupun pada mulanya mungkin mereka kelihatan tidak semulajadi dan dalam keadaan tertekan, namun itu adalah perkara biasa kerana pembudayaan sesuatu yang baharu sememangnya bemula tanpa rasa ikhlas dan perlu dipaksa.

  1. Ulang tazkirah berimpak tinggi

Adakah cukup dengan hanya menunjukkan contoh teladan? Ya, sudah tentu tidak. Sebagai pemimpin, anda juga perlu secara berterusan melakukan proses indoktrinasi dan memberikan khidmat nasihat kepada ahli organisasi secara individu atau berkumpulan.

Ini dapat dilaksanakan dengan tazkirah, peringatan ringkas serta pelatihan yang menyentuh secara terus disiplin-disiplin amal berorganisasi yang ingin anda budayakan. Biar pendek, namun yang penting peringatan-peringatan tersebut diulang-ulang, berimpak tinggi dan mampu menyentuh emosi serta menusuk sanubari mereka.

Ceritakan pelbagai kisah dan bawa analogi mudah. Paparkan statistik yang mengejutkan dan kaitkan topik dengan kehidupan.Tonjolkan elemen emosi dan pelbagaikan intonasi. Semua ini amat penting bagi mewujudkan impak yang luar biasa dalam tazkirah-tazkirah yang anda sampaikan.

Contohnya, bagi menyentap minda anak-anak muda yang begitu sukar membudayakan disiplin menghafal al-Quran, khabarkan kepada mereka junjungan besar Rasulullah ﷺ mula menghafal kitab yang mulia ketika baginda berusia 40 tahun!

  1. Perkenalkan Sistem Ganjaran dan Denda

Selain itu, sistem ganjaran dan denda juga boleh diaplikasikan dalam usaha menyemai disiplin asas dalam kalangan pekerja dakwah organisasi anda. Pakar psikologi mengatakan bahawa, manusia membuat keputusan dalam kehidupan seharian berasaskan sistem ini. Kita melakukan sesuatu kerana ingin mendapatkan ganjaran tertentu (keseronokan atau ‘pleasure’) atau kerana takut ditimpa apa-apa yang buruk (kesakitan atau ‘pain’). Malah sistem pembelajaran moden juga banyak mengaplikasikan method ini secara terus atau tidak.

Sebagai contoh, berikan hadiah istimewa kepada ahli organisasi anda yang berjaya membaca 2 buah buku sebulan. Atau kenakan denda RM5 bagi ahli yang tidak berpakaian kemas dan menarik ketika hadir ke mesyuarat biro.

  1. Kaji Gerak Kerja Musuh

Bagi saya secara peribadi, motivasi melakukan kerja dakwah ialah untuk memenangkan Islam dan mengalahkan musuh. Untuk menang, seluruh ahli pasukan perlu memiliki mentaliti dan disiplin pemenang. Malangnya, gerakan Islam kontemporari menghadapi ketirisan dalam elemen ini. Dan jika kita mengkaji dan meneliti, para musuh Islam memenuhi kriteria mentaliti dan disiplin pemenang yang kita sebutkan.

Jadi, dengan meneliti dan mengkaji gerak kerja mereka, anda sebenarnya mampu mencari formula kemenangan yang diperlukan oleh gerakan Islam. Apakah disiplin asas yang diamalkan oleh mereka secara serius dan konsisten? Kenapa sistem pembudayaan serta latihan yang dilaksanakan begitu berjaya? Bagaimana mereka membina persaudaraan dan prestasi yang hebat dalam perjuangan?

Setelah digali dan diteliti, anda mungkin tergamam dan membuat kesimpulan bahawa kehebatan musuh Islam adalah kerana mereka mengamalkan disiplin yang diajarkan oleh agama Islam, tapi dipinggirkan sendiri oleh umat Islam!

  1. Buktikan Perubahan Prestasi

Sebagai pemimpin, apa sahaja perubahan yang anda lakukan akan sentiasa diperhati dan dinilai oleh ahli. Untuk meyakinkan mereka, anda perlu memastikan pembudayaan pelbagai disiplin tersebut mampu menyumbang kepada prestasi organisasi secara terus.

Ya, ia mungkin agak sukar untuk dilakukan tetapi ia tidak mustahil. Sebagai contoh, anda perlu buktikan dengan penampilan pekerja dakwah yang kemas dan menarik, lebih ramai masyarakat umum mendaftar menjadi ahli baharu. Atau anda perlu buktikan dengan menerapkan disiplin menulis secara konsisten, imej organisasi telah meningkat secara mendadak disebabkan liputan media yang diperolehi.

Peningkatan prestasi yang tampak jelas ini amat penting bagi menyuntik motivasi ahli untuk terus konsisten dengan pembudayaan disiplin yang tertentu. Ia juga salah satu bentuk ganjaran (pleasure) yang dapat merangsang setiap sendi organisasi untuk lebih kuat beraksi!

Cubalah, dan lihat sendiri hasilnya kepada disiplin diri anda dan ahli pasukan yang lain!

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)
Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close