Berita UtamaUtama

20,000 pelajar TVET dijangka terpaksa hentikan pengajian

TVET awam, swasta belum terima dana sejak 9 bulan lalu: FeMAC

KUALA LUMPUR, 1 Safar 1440H, Rabu – Lebih 20,000 pelajar kolej Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berkemungkinan terpaksa menghentikan pengajian berikutan kekurangan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (SDFC).

Persekutuan Pusat Bertauliah Malaysia (FeMAC) berkata, kebanyakan pelajar adalah daripada kumpulan Bawah-40, yang tidak mempunyai sumber pembiayaan lain selain pinjaman daripada SDFC.

“Dalam tempoh empat tahun lalu, Kementerian Sumber Manusia secara konsistennya mengurangkan peruntukan kepada SDFC – yang kini kurang daripada 60 peratus.

“Walaupun peruntukan tahun ini adalah RM175 juta bagi TVET swasta dan awam, namun masih ramai yang belum menerima dana sejak sembilan bulan lalu,” katanya seperti dilapor The New Straits Times, semalam.

FeMac berkata, sebahagian daripada pusat TVET swasta turut berdepan situasi sama, yang mana terpaksa mengurangkan kos operasi, termasuk  tenaga pengajar.

Katanya, pusat TVET swasta masih dapat melatih antara 40,000 hingga 60,000 pelajar setahun, tetapi peruntukan SDFC hanya dimanfaatkan 11,000 pelajar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, Nurul Izzah Anwar mengakui bahawa terdapat kelewatan pembayaran dana kepada SDFC.

Namun Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberi jaminan akan mengusulkan perkara berkenaan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan perlu memberi keutamaan kepada TVET kerana ini adalah sebahagian daripada hala tuju ekonomi negara. 

“Perkara ini membimbangkan kerana kebanyakan permohonan pinjaman SDFC tidak diluluskan dalam tempoh lapan atau 12 bulan semata-mata kerana kekurangan dana,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close