Berita UtamaDuniaUtama

Enggan buka tudung, atlet judo Indonesia hilang kelayakan

Jawatankuasa teknikal guna alasan keselamatan halang pemakaian hijab

JAKARTA, 29 Muharram 1440H, Selasa – Walaupun tidak dibenarkan menyertai pertandingan judo kerana enggan membuka hijab, atlet Asian Para Games 2018, Miftahul Jannah mendapat pujian ramai apabila mempertahankan haknya untuk bertudung.

Orang ramai bersimpati dengan Miftahul yang hilang kelayakan bertanding, tetapi memuji pendirian gadis itu yang enggan mendedahkan aurat di khalayak.

Dalam Islam, perintah menutup aurat adalah wajib ke atas setiap muslim, tidak kira sama ada bagi lelaki atau perempuan.

Gadis berusia 21 tahun itu menitiskan air mata selepas pengadil membatalkan kelayakannya dalam acara judo wanita kategori 52 kilogram, yang berlangsung di Jakarta International Expo Kemayoran, di sini semalam.

Difahamkan, beliau dimaklumkan mengenai pembatalan itu semalam, selepas mesyuarat jawatankuasa teknikal memutuskan pengharaman hijab sehari sebelum pertandingan, atas alasan keselamatan.

“Apa pun risiko, saya tetap tidak akan membuka hijab. Saya sedih kerana sudah berlatih selama 10 bulan, dan bekerja keras hingga pernah mencederakan tangan.

“Namun, inilah hasilnya (hilang kelayakan). Dan keputusan telah pun dibuat,” kata Miftahul.

Sementara itu, jurucakap pertandingan, Ahmad Bahar berkata, pemakaian hijab berpotensi digunakan pihak lawan untuk mencekik leher atlet dan boleh membawa kepada kematian.

“Hal yang perlu ditekankan bukan kerana juri tidak membenarkan orang Islam menyertai pertandingan. Tetapi peraturan antarabangsa menetapkan sejak 2012, bahawa setiap atlet judo dilarang mengenakan tudung bagi acara itu.

“Kita menerima peraturan itu, bukan beerti kami tidak membenarkan atlet memakai tudung. Sebaliknya pemakaian hijab hanya mengundang bahaya kepada atlet,” katanya.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close