Berita UtamaDuniaUtama

5,000 penduduk Palu ‘hilang’

Korban gempa bumi, tsunami di Sulawesi meningkat 1,763

SULAWESI, 28 Muharram 1440H, Isnin – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di semua kawasan yang terjejas akibat gempa bumi 7.5 magnitud di sini, 28 September lalu, akan ditamatkan Khamis ini, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Setakat ini, BNPB menjumpai 1,944 mayat yang tertimbus dalam runtuhan rumah serta bangunan dan sesetengahnya terbenam dalam lumpur, selepas gempa disusuli tsunami melanda beberapa daerah di pinggir pantai Sulawesi.

Pada masa sama, jumlah yang dipercayai hilang di Palu melonjak kepada 5,000 orang – satu petunjuk bahawa jumlah semasa korban bencana berkembar itu lebih besar daripada jangkaan.

Namun, ada kebimbangan bahawa di dua perkampungan paling teruk dilanda bencana di Palu – Petobo dan Balaroa – ribuan mangsa lagi tertimbus dalam lumpur selepas tanah melalui proses pencairan ketika gempa, di mana penduduk setempat mengelarnya sebagai ‘tsunami tanah’.

“Berdasarkan kepada laporan pemimpin kampung Balaroa dan Petobo, terdapat kira-kira 5,000 orang lagi yang belum dijumpai. Bagaimanapun, pegawai kami sedang berusaha untuk membuat pengesahan dan mengumpul data.

“Bukan senang untuk mendapat jumlah yang tepat mereka yang terperangkap dalam tanah runtuh atau lumpur,” kata Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho.

Angka drastik yang dilaporkan itu meningkatkan anggaran jumlah yang terkorban akibat bencana 10 hari lalu. Pegawai BNPB pada awalnya, menjangkakan kira-kira 1,000 penduduk saja tertimbus dalam runtuhan di Palu.

Tetapi, daripada imej yang dirakamkan, termasuk klip video satelit, ketika proses pencairan tanah yang mengheret segala isi di dalam kampung terbabit, pihak berkuasa semakin yakin bahawa jumlah kematian melebihi daripada anggaran awal.

Petobo – satu kelompok perkampungan di Palu – hampir musnah sama sekali akibat kekuatan gempa dan hentaman tsunami.

Akibat getaran daripada gempa itu, tanah hancur dan menjadi seperti pasir sebelum menelan segala yang ada di atas permukaan dengan cepat.

Di Balaroa pula, kompleks perumahan kerajaan turut musnah dan pasukan SAR berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mayat daripada runtuhan bangunan.

Sebelum ini, kerajaan Indonesia mempertimbangkan untuk mengisytiharkan kawasan penduduk yang musnah di Palu sebagai ‘perkuburan besar’, dan membiarkannya tanpa diganggu.

Harapan untuk mencari mereka yang masih hidup semakin pudar, selepas usaha berhari-hari pasukan SAR hanya menemui mayat.

“Hari ini hari ke-10. Ia suatu keajaiban jika dapat menjumpai mangsa yang masih hidup,” kata ketua pasukan SAR di Palu, Muhammad Syaugi.

Indonesia kerap mengalami gempa bumi, letupan gunung berapi dan tsunami kerana kedudukannya di atas Lingkaran Api Pasifik – kawasan yang terletak mengelilingi Lautan Pasifik, yang mana kerak buminya pecah dan bergeser atau dikenali sebagai plat tektonik.

Ogos lalu, gempa kuat di Pulau Lombok dan Bali mengorbankan kira-kira 505 penduduk. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close