Berita Utama

MIS-C: Khairy gesa ibu bapa segera daftar vaksinasi anak

Komplikasi serius akibat COVID-19 boleh punca organ dalam tak fungsi

BANGI, 20 Rejab 1443H, Selasa – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengulangi saranannya terhadap ibu bapa untuk segera mendaftarkan anak masing-masing di bawah Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-Kanak (PICKids), bagi mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19.

Menerusi ciapan dan video yang dimuat naik Khairy di Twitter, beliau memaklumkan kadar kemasukan kanak-kanak ke hospital sudah mula menunjukkan peningkatan.

Apatah lagi, katanya, COVID-19 boleh menyebabkan gejala serius Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) terhadap kanak-kanak.

Dalam video itu, Khairy turut berkongsi penerangan MIS-C daripada Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Nefrologi, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Selayang, Dr Selva Kumar Sivapunniam.

Dr Selva berkata, MIS-C adalah komplikasi yang disebabkan jangkitan COVID-19 yang biasa berlaku selepas dua ke enam minggu kanak-kanak itu dijangkiti wabak berkenaan.

“Tanda-tanda awal MIS-C ialah demam kembali dan berterusan selama satu hingga dua hari, bersama tanda lain seperti radang mata, kulit berlaku ruam, kanak-kanak boleh ada muntah, sakit perut dan cirit.

“Komplikasi ini boleh melibatkan kebanyakan organ dalaman terutama jantung, paru-paru, otak, usus, buah pinggang dan sebagainya,” kata Dr Selva.

Beliau berkata, kesan daripada komplikasi itu akan menyebabkan jantung terutamanya kurang berfungsi dan tidak boleh menghasilkan pengaliran darah serta mengakibatkan tekanan darah rendah yang membawa kelesuan kepada kanak-kanak.

“Disarankan kepada ibu bapa yang melihat anak-anak ini ada demam, lesu dan ruam pada kulit dan radang mata, sila bawa segera berjumpa doktor.

“Doktor akan memeriksa dan memastikan kanak-kanak ini sama ada MIS-C atau tidak dan memastikan ia dibawa ke hospital,” katanya.

Serentak itu, Khairy menggesa ibu bapa untuk mengambil langkah melindungi anak masing-masing dengan mendaftarkan segera vaksinasi mereka.

“Elakkan anak anda daripada kes serius COVID-19, vaksin anak-anak anda segera. Jangan tunggu. Lindungi anak anda dan daftar sekarang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button