Berita UtamaUtama

Menteri tak boleh ketepi Raja-Raja Melayu isu Islam

Menjadi tanggungjawab kerajaan cegah kemungkaran: NGO Kelantan

KOTA BHARU, 27 Muharram 1440H, Ahad – Sebarang kenyataan oleh menteri berhubung agama Islam perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja kerana ia di bawah bidang kuasa sultan dan raja.

Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali berkata, kenyataan berkaitan agama Islam tidak boleh membelakangkan Raja-Raja Melayu bagi menjaga hati rakyat beragama Islam kerana ada kenyataan yang boleh mengguris perasaan.

“Islam adalah agama rasmi, saya berpendapat menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mencegah (kemungkaran) dan membimbing rakyat.

“Begitu juga dalam urusan jenayah, kerajaan perlu mencegah jika berlaku jenayah dan benda yang tidak baik,” katanya dalam sidang media di Jalan Hamzah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Datuk Mujahid Yusof Rawa dalam temu bual eksklusif dengan akhbar The Star, yang melaporkan menteri berkenaan sebagai berkata, tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup, bukan urusan kerajaan. Dalam temu bual itu, Mujahid turut dilaporkan mengutuk tindakan memecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan yang akan dilakukan nanti.

Membidas kenyataan itu, Azmi berkata, tidak perlu perubahan dilakukan kerana operasi khalwat pada masa ini sudah cantik dan baik.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika pihak berkuasa agama tidak dapat mengambil tindakan terhadap aktiviti khalwat, ia akan mengundang keadaan tidak tenteram dan tragedi terutama dalam sesebuah keluarga.

“Inilah cara kita menjaga kesucian agama Islam dan dapat mengelakkan implikasi buruk daripada berlaku,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close