Berita Utama

Vaksinasi cara terbaik capai imuniti kelompok

Apabila peratusan penduduk diimunisasi pada kadar ditetapkan, hasilnya penyakit berjangkit sukar merebak

BANGI, 4 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Cara terbaik untuk mencapai imuniti kelompok adalah melalui vaksinasi.

Imuniti kelompok adalah suatu keadaan di mana sebuah jangkitan tidak dapat memasuki atau menyebar dalam kalangan satu kelompok masyarakat, apabila sebahagian besar anggota masyarakat diimunisasi dan terlindung daripada jangkitan.

Pensyarah di Kulliyyah Pergigian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Prof Madya Dr Muhd Firdaus Che Musa dan Dr Ahmad Badruddin Ghazali berkata, apabila peratusan penduduk diimunisasi mencapai kadar ditetapkan untuk sesuatu penyakit, ia menyebabkan penyakit berjangkit sukar merebak.

Justeru, penganjuran diskusi berkaitan kesedaran, keselamatan dan status halal produk vaksin yang bakal diterima komuniti perlu diperluas demi meningkatkan kadar penerimaan rakyat terhadap vaksin.

Perkara itu penting demi mencapai imuniti kelompok, seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat daripada terus dicengkam COVID-19.

“Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada Disember lalu, kadar sesuai untuk imuniti kelompok bagi COVID-19 masih belum diketahui dan memerlukan kajian lanjut.

“Disebabkan kadar jangkitan sesebuah negara di bawah 10 peratus daripada jumlah rakyatnya, pakar meletakkan kadar antara 60 hingga 80 peratus mencukupi buat masa ini untuk mengekang penularan virus ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) pula menyasarkan program vaksinisasi meliputi 70 hingga 80 peratus populasi negara ini,” kata mereka menulis di Berita Harian, hari ini.

Imuniti kelompok adalah penting untuk memberi perlindungan kepada mereka yang mempunyai risiko tinggi terhadap penyakit berjangkit, tetapi tidak sesuai diberi imunisasi melalui vaksin.

Jelas mereka, golongan seperti bayi pramatang, warga emas dan lain-lain pesakit kronik bakal terlindung daripada wabak, meskipun mereka tidak divaksin.

“Bagaimanapun, pencegahan kesihatan awam diamalkan berteraskan prosedur operasi standard (SOP) harus diteruskan seperti biasa walaupun sudah mendapat vaksin. Ini kerana proses mendapat imuniti kelompok mengambil sedikit masa.

“Kegusaran terhadap keberkesanan vaksin dan penolakan vaksin oleh sesetengah masyarakat membolehkan virus terus kekal untuk tempoh lama. Oleh itu, amalan norma baharu harus diteruskan,” kata mereka.

Pada masa sama, suntikan vaksin adalah suatu keperluan dan mampu menyumbang kepada penyelesaian pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, pencegahan kesihatan awam yang diamalkan kini harus diteruskan seperti biasa meskipun sudah mendapatkan vaksin.

Ia memandangkan proses vaksinasi dan kadar untuk mencapai imuniti kelompok mengambil masa.

“Diharapkan suntikan vaksin dan imuniti kelompok mampu menyumbang kepada kebaikan semua pihak serta memberi impak positif untuk melandaikan kembali lengkuk penularan jangkitan COVID-19, sekali gus mengurangkan kadar kematian di negara ini,” kata mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button