Berita Utama

Jawi sedia semak SOP penguatkuasaan jenayah syariah

Tindakan undang-undang langkah terakhir cegah kemungkaran

KUALA LUMPUR, 27 Muharram 1440H, Ahad – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedia menilai dan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan penguatkuasaan jenayah syariah, termasuk kes khalwat, kata Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dilakukan dari semasa ke semasa jika terdapat kelompangan dalam SOP penguatkuasaan sedia ada.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jawi sentiasa terbuka untuk menerima sebarang idea, pandangan dan teguran daripada mana-mana pihak bagi membantu proses penambahbaikan dalam pelaksanaan SOP itu.

“Jawi sebagai agensi yang menjalankan aktiviti penguatkuasaan yang diperuntukkan oleh undang-undang telah melaksanakannya dengan penuh berhati-hati dan cermat mengikut SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Buat masa sekarang katanya, Jawi memberi perhatian kepada aspek pencegahan bagi memberi maklumat kepada orang Islam supaya tidak melakukan kesalahan dilarang dalam undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Justeru, tindakan undang-undang yang akan diambil sebagai langkah terakhir dengan tujuan mencegah kemungkaran daripada terus berleluasa.

“Akta 505, 559, 560 dan 303 digubal adalah untuk memelihara dan menjaga maslahah, keharmonian, serta kedamaian kehidupan rakyat khususnya umat Islam di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Ajib berkata, pihaknya percaya bahawa kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Mujahid Yusof Rawa, yang menggambarkan seolah-olah beliau membenarkan perbuatan maksiat dan khalwat, telah disalah tafsir pihak tertentu.

Semalam, Mujahid menafikan laporan artikel yang diterbitkan sebuah akhbar Inggeris yang menggambarkan bahawa beliau seolah-olah membenarkan perbuatan maksiat dan khalwat.

Mujahid menegaskan, kenyataannya telah disalah tafsir malah beliau menjelaskan bahawa konsep nahi mungkar tidak hanya dilaksanakan dalam bentuk penguatkuasaan semata-mata.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close