Berita UtamaUtama

Ridhuan Tee kritik Anwar pakai lambang keimanan agama lain

Umat Islam tidak dilarang masuk rumah ibadat penganut agama lain

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 24 Muharram 1440H, Khamis – Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mengkritik tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya keterlaluan, apabila memakai topi Sikh bersimbol khanda, kononnya untuk menghormati agama lain.

Pada hematnya, Presiden PKR yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu sudah melakukan sesuatu yang bercanggah dengan Islam.

Mengakui tidak salah untuk masuk ke rumah ibadat Sikh, Gudwara, beliau berkata, yang menjadi masalah apabila Anwar memakai topi Sikh berlambang khanda.

“Kenapa harus memakai lambang keimanan orang Sikh. Di tengah simbol tersebut terdapat pedang yang bermata dua yang melambangkan kekuatan Tuhan yang mengawal seluruh alam semesta.

“Ia adalah kedaulatan hidup dan mati. Salah satu pedang melambangkan keadilan Tuhan, bertindak menghukum dan menyeksa mereka yang melakukan kejahatan. Di sisi lambang khanda melambangkan kebebasan yang diatur oleh nilai-nilai moral dan spiritual.

“Di luar pedang bermata dua, iaitu sebelah kiri adalah pedang kedaulatan spiritual. Manakala, sebelah kanan adalah pedang kedaulatan politik.Kedua-duanya harus mempunyai keseimbangan.

“Keseimbangan ini terdapat dalam lingkaran simbol tersebut yang dikenali sebagai Chakra. Chakra adalah simbol kesatuan manifestasi Tuhan, baik segala sesuatu, segala keinginan, tanpa awal dan akhir, abadi, dan mutlak,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Anwar memakai lambang khanda ketika hadir beramah mesra bersama masyarakat Sikh di rumah ibadat mereka, Gurdwara Saheb di Port Dickson, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Ridhuan Tee berkata, tidak ada salahnya orang Islam masuk ke rumah ibadat orang bukan Islam, seperti gereja, kuil dan tokong sekiranya mempunyai tujuan.

“Jika tidak, susahlah hidup kami sebagai mualaf, apabila ibu bapa tidak Islam meminta pertolongan untuk menghantar mereka ke rumah ibadat tersebut. Sebagai seorang anak, ketika ibu bapa masih hidup saya sentiasa menemani ibu saya ke tokong dan tanah kubur orang Cina.

Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

“Begitu juga dalam subjek pembelajaran dan pengajaran subjek Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS), bagi mendapat markah yang lebih baik, saya sentiasa menggalakkan pelajar saya membuat kajian di gereja, kuil dan tokong.

“Tidak cukup dengan itu, saya juga menggalakkan mereka melakukan kerja-kerja gotong-royong di sana, termasuk tanah perkuburan bukan Islam,” katanya.

Namun, Ridhuan Tee berkata, ia berbeza dengan situasi Anwar, yang mana ianya lebih kepada untuk meraih undi dan kuasa.

Beliau bersetuju dengan PAS bahawa tidak ada masalah kepada umat Islam untuk memasuki rumah ibadat agama lain selagi tidak mengikuti upacara agama itu.

“Persoalannya, kenapa sampai sanggup memakai topi berlambangkan agama mereka? Kerana mahukan undi kita sanggup lakukan apa sahaja, termasuk memakai lambang atau simbol agama orang lain. Adakah ini dibenarkan?

“Yakinlah! Islam tidak rigid sehingga melarang penganut memasuki kawasan rumah ibadat orang lain, tetapi memakai simbol sudah keterlaluan,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close