Berita UtamaDuniaPalestinUtama

VIDEO | Rakyat Palestin sekali lagi dihalau selepas Peristiwa Nakba

Rejim Zionis Israel akan guna paksaan roboh kampung Khan al-Ahmar

TEBING BARAT, 23 Muharram 1440H, Rabu – Rejim Zionis Israel dijangka merobohkan perkampungan badwi – Khan al-Ahmar – dan memindahkan hampir 200 warga Palestin, selepas tindakan itu berkuat kuasa semalam.

Mahkamah Agung Israel sebelum ini, dua kali membuat keputusan memberi kelulusan kepada pihak berkuasa untuk merobohkan perkampungan berkenaan.

Seorang penduduk kampung itu, Abu Khamis berkata, mereka datang ke Khan al-Ahmar selepas dihalau rejim Zionis dari perkampungan asal ketika Peristiwa Nakba.

“Sekarang mereka sekali lagi hendak menghalau kami dari tanah yang kami duduki sejak lebih 60 tahun lalu,” katanya.

Dengan merobohkan Khan al-Ahmar, rejim pengganas Israel boleh membina penempatan haram yang dihubungkan dengan Kfar Adumin dan Maale Adumin di Baitulmaqdis Timur di kawasan C yang dikawal mereka, sekali gus memecahkan Tebing Barat kepada dua.

Amnesty International menyifatkan tindakan rejim Israel itu sebagai pemindahan paksa dan jenayah perang.

“Selepas hampir sedekad cuba menentang ketidakadilan usaha memusnahkannya, penduduk Khan al-Ahmar kini akan menyaksikan rumah yang mereka duduki turun temurun beberapa generasi akan dirobohkan di depan mata mereka.

“Tindakan ini bukan sahaja kejam dan diskriminasi, tetapi ia adalah perbuatan haram. Perpindahan secara paksa penduduk Khan al-Ahmar adalah satu jenayah perang. Israel mesti menamatkan dasarnya memusnahkan rumah dan mata pencarian Palestin untuk mendirikan penempatan haram,” kata Amnesty dalam satu kenyataan.

Pada 23 September lalu, pihak berkuasa rejim Zionis menyerahkan notis dan memberi tempoh sehingga 1 Oktober lalu kepada penduduk Khan al-Ahmar, mengarahkan mereka memusnahkan rumah dan meninggalkan kawasan itu, atau paksaan akan dilakukan.

Penduduk Palestin dan aktivis antarabangsa telah berkumpul di perkampungan itu bagi menghalang pihak berkuasa rejim Israel mengambil tindakan.

Askar rejim itu juga menggunakan paksaan untuk menyuraikan tunjuk perasaan, menghalang laluan ke bandar dan menangkap penunjuk perasaan.

Khan al-Ahmar terletak di timur Baitulmaqdis, bersebelahan dengan lebuh raya yang menuju ke Laut Mati dan sebahagian daripada Tebing Barat, yang mana undang-undang antarabangsa mengesahkan bahawa Israel mendudukinya secara haram sejak lebih 50 tahun lalu.

Khan al-Ahmar bukan perkampungan pertama di Tebing Barat dirobohkan dan penduduknya dihalau. Sejak 1967, rejim Zionis memusnahkan lebih 50,000 rumah penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Perkampungan Palestin pertama dimusnahkan ialah Emmaus, Yalo dan Bayt Nuba di lereng bukit Latrun – kawasan antara Baitulmaqdis dan Jaffa – yang menempatkan kira-kira 4,500 penduduk. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close