Berita UtamaUtama

SPRM sahkan Rosmah ditangkap, dituduh di mahkamah esok

Tuduhan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan

BANGI, 23 Muharram 1440H, Rabu – Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan berdepan beberapa tuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini, juga mengesahkan Rosmah ditangkap selepas memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya petang tadi.

SPRM berkata, Rosmah akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 8 pagi esok.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Rosmah ditangkap selepas SPRM mendapat kelulusan Pejabat Peguam Negara.

Rosmah yang tiba di Ibu Pejabat SPRM jam 10.42 pagi tadi diiringi peguamnya Datuk K Kumarendran dan Datuk Geethan Ram Vincent, ditangkap jam 3.20 petang.

Bagaimanapun, SPRM tidak menyatakan sama ada Rosmah dibebaskan dengan jaminan atau bakal bermalam di lokap SPRM sebelum dibawa ke mahkamah esok.

Ini adalah kali pertama Rosmah ditangkap berikutan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, dan beberapa siasatan lain termasuk barang kemas.

Pada 26 September lalu, Rosmah memberi keterangan kali kedua hampir 13 jam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan kes 1MDB.

Rosmah sebelum ini hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM kali pertama pada 5 Jun, yang mana beliau disoal siasat selama lima jam berhubung siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Media sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Difahamkan, pihak polis juga dijangka menyoal siasat Rosmah berkaitan barang kemas yang dirampas dalam siri operasi di beberapa premis yang ada kaitan dengannya dan Najib.

Setakat ini, dua pembekal barang kemas memfailkan saman meminta 47 barang kemas yang dihantar kepada Rosmah tetapi tidak dibayar dikembalikan kepada mereka.

Pada 26 Jun lalu, syarikat pembekal barang kemas dari Lubnan – Global Royalty Trading SAL – memfailkan saman terhadap Rsomah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meminta barang kemas bernilai lebih RM59.8 juta dikembalikan.

Peniaga emas dari Dubai, Adi Hasan Alfardan juga meminta dikembalikan barang kemas bernilai kira-kira RM20.7 juta dikembalikan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close