PendapatUtama

Malaysia baru: Asabiyyah menjamin kestabilan negara

Pembinaan negara mesti berasaskan identiti Melayu Islam

SETELAH 61 tahun kemerdekaan dengan kemakmuran dan kedaulatan yang telah Malaysia kecapi, kini negara sedang memasuki satu fasa baharu perubahan ‘social fabric’ dengan kemunculan arus ‘post modernism’ dan ‘identity politics’ yang sedang membentuk arah tuju baharu dan sedang menguji ketahanan identiti nasional bangsa Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya.

Juga, era globalisasi ini memberikan banyak cabaran dalam memperkukuh kesatuan kaum, keluarga dan sosial, dengan kehadiran teknologi yang semakin melunturkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat, terutama umat Islam, dengan petunjuk pelbagai kebejatan sosial di kalangan pemuda Melayu.

Teori asabiyyah memperkukuh negara

Teori asabiyyah yang diperkenalkan oleh seorang pemikir Islam iaitu Ibn Khaldun memainkan peranan penting bagi memperjelas hala tuju dan pembinaan negara yang kukuh.

Asabiyyah sering kali dikonontasi sebagai satu perkataan yang keji dan negatif di dalam minda masyarakat, sehingga menafikan terus sifat asabiyyah dalam pembinaan negara. Perlu dijelaskan bahawa asabiyyah adalah satu sifat semula jadi yang wujud dalam manusia dan masyarakat.

Asabiyyah yang dibawa oleh Ibn Khaldun adalah asabiyyah yang dibawa dalam kerangka Islam, berbeza dengan kerangka asabiyyah jahiliyah iaitu membantu ahli keluarga, kaum secara membuta dengan melindungi mereka ketika mereka melakukan kezaliman.

Asabiyyah yang dibawa Ibn Khaldun mempunyai erti kata yang lebih luas dan fundamental kukuh bagi pembinaan negara.

Asabiyyah bukanlah boleh secara mudahnya disebut sebagai perasaan melampau perkauman atau kekitaan. Ini jelas sekali tidak menepati maksud assabiyah Ibn Khaldun.

Bahkan mendefinisikan asabbiyah secara simplistik sebagai sikap perkauman yang melampau atau sifat yang buruk adalah satu kesilapan besar dalam memahami hakikat sebenar asabiyyah yang dimaksudkan Ibn Khaldun. Juga asabiyyah bukan bermakna menindas kaum lain serta mencabul hak mereka.

Asabiyyah yang dibawa Ibn Khaldun bererti satu perasaan kekitaan, satu perasaan kecintaan hubungan disebabkan kekeluargaan, pertalian darah atau pertalian perkauman.

Frank Rosenthal menterjemahkan asabiyyah sebagai ‘social cohesion’ dan lebih tepat asabiyyah boleh disebut sebagai satu pengikat yang mengikat keluarga, kaum, masyarakat yang akhirnya membawa kepada pembinaan satu negara, kemudiannya tamadun yang maju. Asabiyyah ini penting bagi menyusun sturktur kehidupan secara berorganisasi yang mengelak daripada berlaku ketidakaturan dalam masyarakat.

Asabiyyah ini jika dianalisis secara induktif pula boleh dibahagi kepada empat peringkat dalam pembinaan negara yang kukuh dan makmur. Malah menurut Ibn Khaldun, bangsa yang mempunyai asabiyyah yang lewah akan ‘ditawan’ oleh bangsa yang mempunyai asabiyyah yang kuat.

Peringkat pertama asabiyyah yang paling lemah didalam negara, adalah hubungan hasil kenegaraan iaitu kerana hidup di dalam satu negara yang sama. Asabiyyah ini adalah pengikat sosial yang paling rapuh dan mudah digoyahkan.

Asabiyyah peringkat kedua pula adalah hubungan pertalian darah di mana ianya satu sifat semula jadi dalam setiap manusia yang mengikat hubungan ibu dan anak, suami dan isteri, adik beradik dan sebagainya.

Peringkat ketiga adalah hubungan diasaskan oleh bangsa. Hubungan ini sering kali disalahertikan sebagai menidakkan hubungan terhadap bangsa lain. Ini adalah salah satu bentuk idea yang cuba diserap semenjak zaman kolonialisasi bagi meruntuhkan perpaduan bangsa.

Perpaduan bangsa menurut konsep Ibn Khaldun adalah satu bentuk hubungan yang utuh dan menjadi tapak kepada tertubuh tamadun maju. Tanpa hubungan ini, kuasa sosial negara akan runtuh dan berlaku ketidakstabilan dalam sesebuah negara dan akhirnya menuju kepada keruntuhan peradaban.

Peringkat keempat asabiyyah adalah berasaskan agama dan bangsa. Asabiyyah agama perlu diikat dengan asabiyyah bangsa kerana kedua-duanya memerlukan satu sama lain dan ketidakseimbangan di antara keduanya akan menjatuhkan sesebuah tamadun atau negara.

Semua peringkat asabiyyah ini adalah ‘positive asabiyyah’ yang perlu dijadikan pemangkin kepada pembentukan negara. Mengiktiraf bahawa wujud asabiyyah ini adalah langkah pertama mengenal pasti langkah terbaik bagi mengurus negara pelbagai bangsa.

Langkah seterusnya adalah membentuk ‘social-organisation’ berdasarkan semua asabiyyah ini tanpa menjadikan negara sebagai ‘melting pot’ kerana boleh mencetuskan barah dalam jangka masa panjang.

Bersambung esok

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close