Berita Utama

Penduduk Kinrara adakan bantahan pembinaan SJKC Too Joon Hing Selasa ini

Bukan hanya Melayu tak bersetuju, penduduk setempat Cina dan India hairan dengan pertukaran status tanah

PUCHONG, 9 Rabiulawal 1443H, Sabtu – Ribuan penduduk Bandar Kinrara, Puchong bakal mengadakan bantahan Selasa ini bagi mendesak pihak yang terlibat dalam isu penukaran status tapak Sekolah Kebangsaan (SK) kepada Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) di Jalan 5B Bandar Kinrara.

Pengerusi Persatuan Penduduk BK5B Bandar Kinrara, Haji Mohamad Haron Mohamad Sidik berkata, setakat ini masih tiada pihak yang berani tampil bersemuka dan memberi penjelasan mengapa status asal tanah SK tersebut ditukar secara senyap-senyap kepada SJKC dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Suka saya nak ingatkan, kita sekarang bukannya pertikai pembinaan sekolah tetapi buat apa dibina lagi sekolah vernakular? 

“Mengikut pecahan kaum, Bandar Kinrara dihuni oleh 45 peratus Melayu, 35 peratus Cina, 15 peratus India dan lain-lain kaum lima peratus.

“Justeru, langsung tidak relevan untuk mewujudkan sekolah SJKC yang ke-7 di kawasan minoriti orang Cina sedangkan hanya ada tiga buah sekolah kebangsaan di kawasan yang didiami majoriti penduduk Melayu di sini,” katanya seperti dipetik portal samudera.my, hari ini.

Mohamad Haron berkata, bukan sahaja orang Melayu tidak bersetuju dengan pembinaan SJKC bahkan ada juga penduduk setempat dari kaum Cina dan India tidak bersetuju serta turut berasa hairan dengan tindakan penukaran status tanah yang berlaku secara drastik ini.

“Kita mahu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ambil maklum dan turun padang segera sebelum isu ini menjadi lebih serius.

“Agensi-agensi yang terlibat dan yang bertanggungjawab juga perlu segera turun padang, tampil dan bertindak segera bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.

Perhimpunan Besar-Besaran Rakyat Menolak Pembinaan Sekolah Cina Ke-7 itu menjangka penyertaan seramai 1,000 penduduk setempat.

Ia juga bakal dihadiri tokoh, pejuang serta aktivis kebangsaan yang akan mendesak kerajaan untuk menghentikan segera pembinaan sekolah SJKC di atas tapak asalnya milik SK.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button