Berita Utama

Adik Najib letak jawatan dalam CIMB 31 Disember

Lembaga Pengarah CIMB aktif pelan penggantian Nazir Razak

KUALA LUMPUR, 15 Muharram 1440H, Selasa – Datuk Seri Nazir Razak akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB dan jawatan lain dalam kumpulan berkenaan pada 31 Disember 2018.

Menurut Kumpulan penyedia perkhidmatan kewangan itu, Lembaga Pengarahnya (BOD) akan mengaktifkan pelan penggantian bagi menentukan Pengerusi berikutnya dan tarikh tepat penyerahan jawatan.

Penggantinya akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Kumpulan berkenaan.

Nazir berkhidmat dengan CIMB selama 29 tahun, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan selama 15 tahun dan Pengerusi Kumpulan sejak tahun 2014.

Pada Jun lalu, Nazir, dalam maklum balasnya terhadap spekulasi laporan berita berhubung beliau meninggalkan kumpulan berkenaan, berkata tempohnya sebagai Pengerusi akan berakhir pada Ogos 2019 dan beliau pada masa itu belum memutuskan sama ada untuk memohon lanjutan.

Memetik sumber, laporan berkenaan menyatakan bahawa, Nazir, adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersedia untuk meninggalkan jawatan Pengerusi sebelum tamat tempoh jika diminta berbuat demikian.

Ini membawa kepada apa yang dikatakan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, bahawa, ia adalah tertakluk kepada Nazir jika beliau ingin meletak jawatan sebelum tempoh kontraknya berakhir. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close