Pendapat

PTPTN, akhlak dan ‘promissory estoppel’

Prinsip kewajipan membayar hutang bukanlah sesuatu yang tetap.

Kewajipan membayar hutang boleh berubah, jika ada keadaan yang membenarkan kewajipan tersebut dilonggarkan, seperti janji di pihak yang memberi pinjam, misalnya, untuk membenarkan penangguhan bayaran balik.

Dalam prinsip perundangan sivil, ada suatu doktrin yang dipanggil “waiver” atau “promissory estoppel”. Prinsip ini menetapkan bahawa jika seseorang itu berjanji untuk tidak menguatkuasakan haknya, maka dia tidak boleh lagi menuntut hak yang telah dilepaskannya itu, walaupun pada awalnya dia mempunyai hak itu.

Contoh senarionya: jika seseorang itu berhutang, katakan A meminjam duit daripada B dengan persetujuan bahawa hutang itu mesti dibayar dalam tempoh sebulan; tetapi jika B kemudian memberikan janji dan persetujuan bahawa A tak perlu bayar balik hutangnya, selagi dia tak ada duit yang mencukupi — maka dalam kes seperti ini, B adalah “diestop” atau ditegah daripada menuntut hutangnya dari A, kerana prinsip “promissory estoppel” itu tadi.

Demikian juga dalam hukum Islam, seseorang yang memberi pinjam boleh menghalalkan duit yang telah diberi pinjam.

Justeru kewajipan membayar hutang itu tadi terangkat kerana telah dihalalkan.

Setelah dihalalkan, pemberi pinjam itu tidak lagi mempunyai hak untuk menuntut semula perkara yang telah dihalalkan tadi.

Atau pemberi pinjam itu boleh berjanji untuk membenarkan hutang itu tak perlu dibayar sehingga peminjam ada cukup wang. Justeru kewajipan membayar hutang itu tertangguh, dan pemberi pinjam tidak boleh tuntut selagi peminjam itu tidak ada wang yang cukup.

Demikian juga dalam kes PTPTN yang sedang hangat mutakhir ini. Pakatan Harapan telah berjanji dalam manifesto mereka secara jelas, bahawa jika mereka membentuk kerajaan, maka para peminjam PTPTN tidak perlu membayar balik hutang selagi mana mereka belum mempunyai gaji sebanyak RM4,000 sebulan.

Memandangkan Pakatan Harapan telah pun berjaya membentuk kerajaan pada hari ini, maka janji tersebut telah melonggarkan kewajipan para peminjam daripada membayar balik hutang PTPTN mereka, baik dari sudut perundangan sivil, mahupun hukum agama (setakat yang saya faham — saya bukan pakar fiqh, jadi jika salah dari sisi ini, mohon betulkan).

Pada tahun 2013, Mahkamah Rayuan pernah memutuskan suatu kes penting mengenai apakah nilai manifesto pilihanraya — adakah ia wajib dilaksanakan, mengikat atau tidak mengikat parti yang memberi janji itu?

Dalam kes itu, Mahkamah mengatakan ia cuma janji pilihanraya, dan tidak wajib dilaksanakan. Pun demikian, fakta kes tahun 2013 itu berbeza dengan kes janji penangguhan bayaran PTPTN ini, justeru prinsip perundangannya juga berbeza.

Dalam kes Mahkamah Rayuan tahun 2013 itu, seramai dua ribu ibu tunggal di Selangor menyaman kerajaan negeri Selangor untuk menuntut elaun RM100 yang dijanji akan dibayar kepada ibu tunggal, sekiranya Pakatan Rakyat menang pilihanraya, tetapi gagal dipenuhi setelah Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

Justeru manifesto itu berbentuk janji untuk melakukan sesuatu. Ia juga adalah janji sebelah pihak, yang tidak ditimbal balik dengan sebarang janji balas di pihak yang lagi satu. Maka Mahkamah mengatakan bahawa perjanjian tidak wujud, kerana janji manifesto yang diberikan adalah sebelah pihak.

Sedangkan dalam kes PTPTN ini, ia bukan janji untuk melakukan sesuatu, sebaliknya janji untuk tidak menuntut hak dalam perjanjian pinjaman yang telah pun sedia wujud. Justeru, persoalan sama ada wujud perjanjian atau tidak, seperti yang dihujahkan Mahkamah Rayuan dalam kes manifesto pada tahun 2013 itu, tidak terpakai dalam kes manifesto PTPTN.

Para peminjam PTPTN yang membuat keputusan untuk tidak membayar balik hutangnya kerana gaji belum mencapai RM4000 — tetapi nama mereka direkodkan buruk dalam CCRIS — sebenarnya boleh memfailkan saman kepada Kerajaan dan PTPTN, atas prinsip “waiver” dan “promissory estoppel” yang saya sebutkan di atas tadi.

Harus saya akui bahawa saya bersetuju dengan Tun M, bahawa orang yang berhutang, tetapi tidak membayar hutang, memang tidak berakhlak.

Tetapi jika dia tidak membayar hutangnya itu kerana telah ada janji penangguhan daripada pihak yang memberi pinjaman, maka kita tidak lagi boleh menuduh orang itu sebagai tidak bermoral.

Sebaliknya pemimpin negara yang berjanji macam-macam ketika nak meraih undi, tetapi setelah menang pilihanraya tidak mahu memenuhi janji, inilah sebenar-benar hipokrit, tidak berakhalak, dan munafik.

Aidil Khalid
Pengamal undang-undang

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net)

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close