Berita Utama

Juara Sukma 2018: Terengganu cuti 30 September

Atlet menang pingat Sukan Malaysia bakal terima ganjaran besar

KUALA TERENGGANU, 13 Muharram 1440H, Ahad – Kerajaan negeri mengisytiharkan Ahad, 30 September ini sebagai cuti peristiwa berikutan kejayaan kontinjen negeri itu menjuarai Sukan Malaysia 2018 (Sukma).

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut mengumumkan 160 atlet Terengganu yang memenangi pingat pada Sukma 2018 di Perak, baru-baru ini, bakal menerima insentif kemenangan keseluruhannya berjumlah RM1.1 juta.

Sambil merakamkan penghargaan kerajaan negeri kepada kontinjen Terengganu yang beraksi cemerlang, beliau turut mengucap tahniah kepada atlet negeri itu, Azreen Nabila Alias yang menerima Anugerah Atlet Wanita Terbaik Sukma Perak 2018.

“Kerajaan Negeri Terengganu merakam ucapan tahniah dan syabas kepada Kontinjen Terengganu yang telah beraksi dengan cemerlang dan berjaya memungut 56 pingat emas, 51 pingat perak dan 53 pingat gangsa seterusnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukma 2018,” katanya,” katanya pada sidang media di Majlis Sambutan Atlet Sukma 2018 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, 56 pemenang pingat emas akan menerima ganjaran RM3,000 setiap seorang, pingat perak RM2,000, manakala pingat gangsa RM1,000 yang akan disampaikan pada Malam Penghargaan Atlet Sukma yang dijadual diadakan dalam masa terdekat.

Selain itu, hadiah tambahan berupa pakej menunaikan umrah turut dianugerahkan kepada Atlet Sukma Wanita Terbaik, Azreen Nabila, 18, yang berjaya mencipta rekod baru Sukma dalam acara 100 meter.

“Kerajaan negeri juga meluluskan pemberian insentif RM100 seorang kepada 800 ahli kontinjen yang terlibat dengan Sukma di Perak.

“Ini termasuklah pemandu, tukang angkat barang dan sebagainya kerana mereka turut menyumbang kepada kemenangan secara tidak langsung,” katanya. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close