Berita Utama

Beberapa pemimpin UMNO Perlis akan sertai Bersatu

Menteri Besar tak dapat sokongan wakil rakyat, tiada perancangan ekonomi

KANGAR, 13 Muharram 1440H, Ahad – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis mendakwa beberapa orang pemimpin UMNO negeri ini akan menyertai parti itu.

Setiausahanya Wan Saiful Wan Jan berkata, beberapa pertemuan dan rundingan dengan pemimpin berkenaan telah dan masih berjalan serta menunjukkan tanda-tanda positif.

“Saya fikir masanya tidak lama lagi mereka menyertai BERSATU. Bagaimanapun, saya tidak boleh dedah nama pemimpin berkenaan sehingga segala-galanya diputuskan.

“Kami bersedia terima mereka yang kecewa dengan UMNO negeri berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas,” katanya kepada media semasa ditemui selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis yang rosak dipukul ribut Isnin lepas, di sini, hari ini.

Wan Saiful mendakwa berdasarkan maklum balas dan sentimen sekarang, rakyat Perlis mahukan perubahan namun kerajaan negeri yang diterajui UMNO telah gagal memenuhi kehendak mereka.

Beliau juga mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man gagal meyakinkan anggota parti kerana beliau sendiri tidak mendapat sokongan majoriti.

“MB (Menteri Besar) ni cuma atas kertas. Mana dia perancangan nak bangunkan Perlis dan naikkan ekonomi negeri?,” tanya Wan Saiful.

Ketua Bahagian UMNO Padang Besar merangkap anggota Parlimen kawasan itu Datuk Zahidi Zainul Abidin tidak menafikan telah ada perbincangan antara wakil-wakil rakyat BN dan Bersatu kira-kira dua bulan lepas.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis kini mempunyai lapan anggota daripada UMNO, satu MCA, dua PAS dan tiga PKR dan satu anggota DUN bebas. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close