Kata PedangUtama

Tok Pa lebih awal daripada ‘Langkah Port Dickson’

Ramai lagi wakil rakyat UMNO akan ikut jejak Ahli Parlimen Jeli

DULU ‘Langkah Kajang’. Lepas itu muncul pula ‘Langkah Port Dickson’. Kedua-duanya dilakukan PKR dalam rancangan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kerusi Dewan Rakyat.

Tetapi ‘Langkah Kajang’ tidak menjadi, sekarang ramai pula melihat kepada ‘Langkah Port Dickson’. Pelbagai perbincangan, telahan, ramalan, dibuat. Tetapi, selagi belum berlaku maka tidak boleh dikatakan ‘Langkah Port Dickson’ akan berjaya atau akan gagal.

Namun, satu lagi ‘langkah’ telah berlaku semalam dan ‘langkah’ itu memang berjaya apabila ia benar-benar berlaku.

Tok Pa ‘melangkah’ keluar daripada UMNO – parti yang beliau perjuangkan sejak 40 tahun lalu. Beliau membuat pengumuman menerusi satu kenyataan yang diedarkan kepada media selepas Maghrib semalam.

Ramai yang kecewa dan tidak menyangka. Ada kawan Pedang yang nampak kecewa dan terkejut dengan pengumuman itu kerana petang semalam sebelum kenyataan media Tok Pa diedarkan, kami berbual mengenai suasana politik tanah air dan Pedang kata Tok Pa akan keluar UMNO.

Dan, selepas sejam lebih, kata-kata Pedang menjadi nyata apabila Tok Pa edarkan ‘KENYATAAN MEDIA: PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI AHLI UMNO’.

Pedang bukan ‘tok bomoh’ atau ‘tukang ramal’. Bukan ‘siapa-siapa’. Terlalu tinggi dan mahal pula untuk meletakkan Pedang setaraf dengan penganalisis politik. Sekadar ‘pemerhati politik’ sahaja. Sebagaimana rakan-rakan Pedang yang lain mahu dikenali – Pemerhati Politik bukan Penganalisis Politik.

Sepatutnya, Tok Pa umum keluar UMNO sama ada dua tiga hari sebelum atau pada 1 Muharram lalu, sempena kedatangan tahun hijrah 1440, sesuai dengan angka 40 (40 tahun) perjuangan dengan UMNO.

Tapi, Pedang rasa Tok Pa enggan umum pada tarikh itu kerana ‘penghijrahan’ pada 1 Muharram terlalu agung dan besar dalam Islam, dan boleh membawa petanda lebih buruk terhadap UMNO.

Dalam sejarah Islam, awal Muharram atau kita panggil dengan Maal Hijrah, adalah hari berlakunya peristiwa penting iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad ﷺ dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam dan penghijrahan itu diambil bagi permulaan kiraan kalendar Hijrah.

Tentulah mendatangkan suatu kesan yang amat besar jika Tok Pa mengumumkan ‘hijrahnya’ daripada UMNO pada tarikh berkenaan. Dalam kata lain, masih ada rasa sayang dan kasihan Tok Pa kepada UMNO. Sebab itu beliau tidak ‘menggegarkan’ UMNO pada 1 Muharram.

Lagipun, Muharram adalah bulan mulia dan memiliki keutamaannya tersendiri. Rasulullah ﷺ menyatakan Muharram ialah bulan Allah Taala, dan puasa yang paling afdal selepas Ramadan ialah puasa pada Muharram. Nabi ﷺ bersabda yang bermaksud:

“Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan Allah, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Namun, Tok Pa mengambil ‘berkat’ bulan Muharram untuk melakukan ‘penghijrahannya’ setelah berfikir panjang. Dicongak, campur, tolak – akhirnya semalam, Ahli Parlimen Jeli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Lanas, Kelantan itu membuat pengumuman.

Kenapa Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang mula menjadi menteri Kabinet pada 1995 dan pernah berada di bawah tiga Perdana Menteri, bertindak demikian juga telah dijelaskan dalam kenyataan medianya.

Bagi Pedang, itu hak beliau untuk membuat keputusan. Hak dan kebebasan yang diberikan kepada setiap individu dalam menentukan permainan dan pendirian politik masing-masing.

Bukan dalam UMNO sahaja pernah berlaku keluar masuk parti. Parti rasis dan cauvinis – DAP – pun pernah berlaku, hingga tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Dalam PAS dan PKR pun berlaku.

Cuma, ramai yang kecewa tertanya-tanya adakah Tok Pa akan menyertai mana-mana parti, terutama Bersatu? Itu juga yang mereka tanya kepada Pedang. Dan, mereka sendiri juga yang jawab: “Sah, Tok Pa akan masuk Bersatu.”

Pedang boleh kata Tok Pa tidak akan menyertai mana-mana parti, terutama Bersatu, dalam masa terdekat. Tok Pa akan duduk sebagai Ahli Parlimen Bebas di Dewan Rakyat dan Adun Bebas di DUN Kelantan. Lagipun, Tok Pa belum buka mulut untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Tetapi, pada mata Pedang dan rakan-rakan Pedang yang sudah lama melihat Tok Pa – Datuk Seri Mustapa Mohamed ini seorang yang sederhana, tidak ada skandal, jadi menteri tapi tinggal pun di kuarters kerajaan. Tak nampak beliau bina rumah besar-besar macam menteri-menteri sebelum ini.

Tak nampak Tok Pa kumpul macam-macam jenis kereta dan motosikal berkuasa tinggi. Pakaian pun simple, tak macam yang lain, pakaian berjenama mahal, pakai jam harga ribuan ringgit, kasut mencecah ratusan, malah ribuan ringgit, sedang benda yang diletak di atas kepala hanya RM15 atau yang wanitanya pula tak tutup pun kepala, selendang letak atas bahu.

“Tok Pa tak ada duit untuk bajet kempen kalau nak bertanding Presiden UMNO.” Itu kata kawan Pedang sebelum PAU yang lalu, yang cuba mengatur supaya Tok Pa masuk tanding Presiden. Yalah, nak bertanding jawatan tinggi kena ada ‘tukang kempen’ yang nak guna duit untuk makan, hotel, minyak kereta dan sebagainya. Bukan nak kempen di Kelantan saja, tapi seluruh Malaysia.

Jadi, bila tiada parti dan menjadi Bebas, Tok Pa akan mengangkat tangan menyokong sebarang keputusan dan projek pembangunan yang memberi kebaikan kepada agama, bangsa dan negara yang dicadangkan oleh kerajaan. Dan, Tok Pa juga akan membantah jika keputusan dan projek itu memberi keburukan kepada agama, bangsa dan negara.

Kata Pedang: Kepada Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan – jangan terkejut selepas ini akan ada ramai lagi wakil rakyat UMNO yang mengikut Tok Pa berhijrah. Siapa? Tunggulah! 

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Tok Pa umum keluar UMNO

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close