Berita UtamaDunia

Penutupan sempadan Gaza dilanjut, halang buruh Palestin cari rezeki

Alasan kenakan hukuman kolektif kerana protes peneroka haram masuk Masjid al-Aqsa

GAZA, 4 Rabiulawal 1445H, Rabu – Pihak berkuasa negara haram Israel mengumumkan penutupan tambahan di sempadan Gaza, sekali gus menghalang perjalanan 18,000 buruh Palestin yang berulang alik untuk mencari rezeki di luar Gaza.

Pengumuman dikeluarkan oleh Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT) memaklumkan penutupan lintasan sempadan Beit Hanoun (Erez) antara Gaza dan Israel akan diteruskan sehingga diberitahu kelak.

Penutupan lintasan berkenaan adalah amalan biasa semasa cuti umum namun didakwa oleh tentera sebagai langkah pencegahan.

Pintu sempadan ini pada asalnya dijangka beroperasi semula pada Ahad lalu tetapi penutupan sempadan Beit Hanoun (Erez) berterusan sehingga kini.

Bagaimanapun, pengecualian akan dibuat untuk kes-kes kemanusiaan namun, penduduk Palestin perlu mendapat kelulusan COGAT, pasukan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Palestin.

Keputusan penutupan berkenaan dibuat sebagai hukuman kepada penduduk Palestin yang memprotes dan membakar tayar selepas kumpulan peneroka haram berhimpun bagi meraikan sambutan tahun baharu di kawasan Masjid al-Aqsa hujung minggu lalu.

Dalam kejadian berkenaan, lebih 300 peneroka haram memasuki ruang solat di masjid di bawah kawalan polis.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia berkata, penutupan lintasan sempadan itu dibuat sebagai hukuman kolektif yang sangat memudaratkan buruh dan keluarga penduduk Palestin, serta orang lain yang menerima pas keluar untuk keperluan kemanusiaan yang mendesak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button