Berita UtamaKata PedangUtama

Projek 127: Melankolia dan realiti

Gabungan PKR+UMNO+PAS untuk bentuk kerajaan baharu 1 November sekadar penglipur lara dunia politik dan kacau bilau identiti

AWALNYA Pedang tak nak ulas satu nota ringkas yang diterima lebih seminggu lalu daripada seorang rakan yang kerusinya agak selesa dalam sebuah parti gabungan Pakatan Harapan (PH).

Selain menceritakan sikit-sikit perkara pokok, rakan Pedang juga kata “…org (orang) kami juga yg (yang) buat bg (bagi) gmpar (gempar) sket (sikit)…”

Pedang tanya “orang kami tu siapa?”. Kawan Pedang balas dengan emoji ketawa sambil kata “😂Org yg ghairah”. Pedang pun balas dengan emoji ketawa juga… “😂ghairah??? 😂… ghairah ni byk (banyak) mcm (macam) bos.”

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ghairah membawa maksud:

1. Nafsu (keinginan) yang keras, cinta (berahi) yang amat sangat; 2. Cemburu yang keras; dan 3. Penuh minat (keinginan, nafsu, dll) yang keras atau meluap-luap.

Tiba-tiba telefon berdering. Salam pun bersambut. Pedang bagi salam, dia pun bagi salam… sama-sama menjawab. Biasalah. Kadang-kadang begitulah ragam bila menjawab telefon… masing-masing memberi dan menjawab salam. Dia pun mulalah bercerita sikit-sikit, sambil kadang kala Pedang pun membalas tingkahnya.

Kesimpulannya, demikianlah hebat politik sekarang. Apa lagi jika politik itu dimainkan oleh mereka yang bijak mengatur strategi, pandai pula membaca strategi lawan. Untuk tujuan ini, ahli politik memerlukan satu pasukan pemikir yang hebat, wang yang banyak sebagai pelaburan untuk upah pemikir membuat kajian dan siasatan.

Jika strategi tak menjadi maka kalahlah mereka, macam mana kalahnya BN pada PRU14 lalu. Demikian juga PAS yang bertanding 150 kerusi Parlimen, tapi hanya menang 18 kerusi – salah strategi.

‘Terlalu yakin’ juga boleh menempah ‘maut’ dalam politik. Tapi, Pedang lihat banyak strategi politik yang menjadi cacamarba ketika PRU14 lalu hingga ada ‘war room’ tutup awal, ‘pekerja’ tidak diberi peruntukan. Dalam kata lain, ketua makan sendiri, jadi pekerja ‘tutup kedai’.

Berbalik kepada perkara pokok tadi, Pedang buat kesimpulan agenda ‘Projek 127’ tidak akan menjadi. Jika diperhatikan suasana politik sekarang dan sejarah lalu, lebih banyak bukti bahawa projek itu tidak akan menjadi kenyataan.

Kenapa? Secara ringkasnya, drama ‘Projek 12’ adalah gabungan tiga parti iaitu PKR-UMNO-PAS dengan sokongan MCA dan MIC, bagi membentuk sebuah kerajaan yang memiliki 127 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Projek 127 akan mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan, manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan II.

Angka 127 diambil daripada jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi parti berkenaan pada PRU14 lalu iaitu PKR sebanyak 51 kerusi (awalnya PKR hanya menang 49 kerusi, tetapi dua calon Bebas dari Sarawak kemudian menyertai PKR); UMNO (55 kerusi); PAS (18 kerusi); dan MIC/MCA (tiga kerusi).

Projek itu akan mengetepikan Bersatu yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad; DAP; dan PAN, yang akan hanya memiliki 95 kerusi. Pada PRU14 lalu Bersatu menang 12 kerusi Parlimen; PAN (10); dan DAP (42).

Bangkit beberapa alasan yang Pedang lihat bahawa Projek 127 ini hanya satu melankolia, mainan, tidak akan menjadi dalam suasana politik sekarang, biarpun Anwar sudah memulakan ‘Langkah Port Dickson’. Antaranya:

Pertama – PAS, terutama Hadi Awang kekal menolak Anwar. Sebab itu, salah satu usaha keras yang dilakukan Zahid Hamidi sekarang ini adalah untuk mendekati PAS, dan mendapat restu mengajak parti Islam itu bersama-sama menyokong Anwar.

Namun, adakah Zahid atau ramai lagi Ahli Parlimen UMNO sempat menjayakan Projek 127? Sedang, Dr Mahathir baru-baru ini telah mengumumkan kes salah guna kuasa dan rasuah di kalangan ‘pemimpin tertentu’ kerajaan lama akan mula diambil tindakan.

Dan, untuk mengelak daripada siasatan serta tuduhan, mereka pastinya akan ‘mengikut telunjuk’ menolak Anwar. Maaflah, Pedang tak nak cerita lebih panjang lagi bab ini. Tunggu lain masa, sebab isu ini berbelit-belit macam ‘ular’.

Kedua – Tak semua Ahli Parlimen PKR menyokong Anwar. Ini pun sudah Pedang tulis sebelum ini berikutan pemilihan PKR bulan depan.

Ketiga – Tak semua Ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar, walaupun Zahid dikatakan adalah ‘orang Anwar’ sejak dulu lagi. Sebaliknya ada yang tetap menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, kerana mereka yakin Tun M mampu memulihkan keadaan negara sekarang;

Keempat – Ada Ahli Parlimen PKR yang sudah bersedia untuk melompat ke parti Bersatu jika kedudukan mereka, sama ada di dalam parti atau Kabinet terancam. Sikit sebanyak Pedang dah ulas dalam tulisan sebelum ini.

Kelima – Berlaku perpecahan dalaman PKR sekarang ini berikutan pemilihan yang bakal diadakan bulan depan. Perlu diingat, ‘dendam’ di kalangan orang PKR, berbeza dengan orang PAS yang akan kembali bertaut di bawah satu payung Islam. Pedang sudah memberi ulasan mengenai kem-kem yang wujud dalam PKR sebelum ini; dan

Keenam – (Ramai yang apabila Pedang nyatakan alasan ini membuka luas mata mereka). Dr Mahathir sudah menguasai sepenuhnya DAP dan PAN.

Itu antara alasan kenapa Pedang melihat ‘Projek 127’ akan gagal. Lagipun, Dr Mahathir dan pemimpin kerajaan sedang memberi tumpuan memulihkan ekonomi negara, demi kesejahteraan rakyat.

Sedikit kisah lalu, masa Dr Mahathir jadi PM dulu, KLCC adalah bangunan tertinggi di dunia. Kemudian Taiwan mendirikan Taipei 101 lebih tinggi daripada KLCC. Ironinya Dr Mahathir ketika ditanya perasaannya menjawab:

They have one very tall building, taller than ours, but we have two. We have the distinction of having the tallest twin towers in the world. No one else has that yet.”

Kata Pedang: Dr Mahathir adalah ‘master strategist’ – kata seorang penganalisis politik. Pada masa sama peringatan juga selalu diberikan kepada pemain politik lain ‘Don’t underestimate ‘master player’ Mahathir’ atau ‘Don’t underestimate that old man’.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close