Berita UtamaUtama

Pihak gila jawatan, kuasa takut kerjasama UMNO-PAS

Orang Melayu tak rasis tapi toleransi dan terbuka: Isma

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 6 Muharram 1440H, Ahad – Kerjasama antara PAS dan UMNO – yang menjadi seteru tradisi dalam arena politik negara – berkemungkinan menimbulkan rasa bimbang dan takut di kalangan pihak yang gila jawatan serta kuasa.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, pihak berkenaan akan berterusan mencemuh dan menghina dengan harapan perpaduan di antara kedua-dua parti gagal.

Beliau berkata, pihak tidak senang berkenaan akan terus melabel UMNO dengan segala keburukan serta menganggap pihak yang bekerjasama sebagai bersekongkol dengan parti korupsi dan kleptokrasi.

“Bagi saya golongan ini tidak lain hanyalah perosak dan pengkhianat negara bangsa dan agama. Saya yakin dengan perpaduan (PAS-UMNO) ini, dan mesej yang jelas kepada rakyat ke arah kestabilan negara yang akan lebih membawa kebaikan daripada keburukan.

“Walaupun mungkin sebahagian ahli masih ragu-ragu, namun sebagai seorang Melayu, muslim kita mendoakan perpaduan ini dapat dikekalkan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, PAS dan UMNO secara rasmi bersetuju untuk mengadakan hubungan secara formal dalam kerangka gagasan di posisi pembangkang.

Malah, kehadiran untuk julung kalinya kepimpinan tertinggi UMNO ke Muktamar Tahunan PAS ke-64 semalam, telah melakar sejarah baharu dalam landskap politik negara, walaupun pernah berlainan haluan hampir enam dekad.

Mengulas perkara itu, Aminuddin turut menggesa parti-parti lain yang berteraskan Melayu, Islam untuk bersama dalam perpaduan itu.

Beliau berkata, tidak hanya kehadiran UMNO, malah pimpinan MIC ke muktamar tahunan PAS membuktikan bahawa kerjasama parti itu tidak mengancam kaum lain sebagaimana yang dilaungkan sesetengah pihak.

“Kesejahteraan orang Melayu akan menentukan kesejahteraan kaum lain juga. Segala salah tanggapan bahawa perpaduan ini akan mengenepikan bangsa lain mesti diketepikan.

“Orang Melayu bukan bangsa rasis mahu pun prejudis. Malah, Melayu adalah satu kaum yang sangat toleran dan terbuka. Mereka bersedia untuk berkorban bagi ‘accomodate’ bangsa lain. Mereka tidak pernah mengambil hak orang lain cuma sekadar mempertahankan hak sebagai pribumi negara,” katanya.

Polemik kerjasama antara UMNO dan PAS bukanlah perkara baharu yang timbul dalam politik negara, kerana kedua-dua parti berkenaan pernah bersama sebagai sebuah pasukan dalam Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan pada 1974.

Bagaimanapun, kerjasama itu tidak dapat dikekalkan dan akhirnya PAS dikeluarkan daripada BN pada 1978.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close