Berita Utama

Pulihkan demokrasi, UMNO terus desak Parlimen dibuka segera

Tidak demokratik jika letak pelbagai syarat untuk bahas, usul di Parlimen

BANGI, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan senada dengan desakan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid supaya kerajan segera memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Mohamad berkata, tempoh 14 hari yang diberikan oleh Ahmad Zahid itu adalah bertujuan menyokong sepenuhnya saranan institusi raja dan memulihkan semula dengan segera demokrasi negara bagi mengembalikan sepenuhnya fungsi Parlimen.

Sama seperti dinyatakan Presiden parti itu, beliau berkata, pendirian berkenaan akan dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO untuk ketetapan selanjutnya.

“Pendirian UMNO selama ini sangat jelas bahawa institusi raja mesti dipertahankan dan demokrasi mesti dikembalikan dengan memanggil persidangan Parlimen.

“Saya juga berpandangan bahawa Parlimen wajar menjalankan peranannya sesuai dengan doktrin pemisahan kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, ketika Parlimen bersidang, sebarang perkara boleh dibahaskan, tetapi mesti sesuai dengan peraturan mesyuarat.

Justeru, memberikan pelbagai syarat mengenai perkara yang boleh atau tidak dibahaskan dan diusul di Parlimen disifatkan beliau sebagai tidak demokratik serta bercanggah dengan kebebasan Parlimen.

“Penegasan saya ialah apa jua keputusan UMNO dalam kemelut politik semasa, mesti bersandarkan mandat dari Perhimpunan Agung dan dibincangkan secara kolektif oleh Majlis Tertinggi.

“Ini termasuklah kedudukan UMNO dalam kerajaan, menolak kerjasama dengan parti atau individu tertentu yang tidak akan menguntungkan UMNO serta pendirian UMNO tentang pelbagai isu semasa,” katanya.

Beliau berkata, semua ketetapan yang diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO adalah terpakai dan Majlis Tertinggi wajar menterjemahkan mandat itu sebaiknya.

Semalam, Ahmad Zahid mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja pemerintah untuk segera memanggil Sidang Parlimen.

Beliau dalam kenyataan memberi kerajaan tempoh 14 hari untuk melaksanakan titah itu, jika tidak mahu dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi raja.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button