Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Turki tambah tentera, hantar kereta kebal ke sempadan Syria

Serangan ke atas Idlib boleh cetus gelombang pelarian besar-besaran

ANTAKYA (TURKI), 4 Muharram 1440H, Jumaat – Turki meneruskan penghantaran anggota tentera dan senjata beratnya ke barat daya negara itu yang bersempadan dengan Syria, sebagai persediaan serangan besar-besaran oleh kerajaan rejim Bashar Al Assad dan sekutunya ke atas wilayah dikuasai kumpulan pejuang.

Konvoi tentera Turki dilaporkan tiba di luar bandar Morek di utara wilayah Hama di Syria, awal hari ini, lapor stesen televisyen satelit, Al Jazeera.

Pesawat tentera Turki yang membawa ratusan anggota tentera juga dilihat mendarat di sebuah lapangan terbang di Hatay, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Turki-Syria. Bagaimanapun, tidak pasti sama ada anggota tentera itu dikerah ke sempadan kedua-dua negara.

Turki yang kini menjadi tuan rumah kepada kira-kira 3.5 juta pelarian Syria, bimbang jumlah itu akan meningkat jika Syria yang dibantu sekutunya, Russia dan militan pro-Syiah Iran, menyerang kubu kuat terakhir kumpulan penentang di Idlib.

Pakar keselamatan Turki, Metin Gurcan berkata, langkah memperkuatkan benteng pertahanan di sempadan adalah tindakan defensif.

“Jika melihat kepada pelbagai jenis sistem senjata itu, saya akan mengatakan ianya untuk pertahanan. Jadi saya tidak berfikir Turki memiliki niat atau kecenderungan untuk menyerang. Kemampuan untuk campur tangan ketenteraan di Idlib juga menjadi teka-teki.

“Ini adalah satu bentuk pencegahan yang dilakukan menerusi kekuatan tentera iaitu pertahanan untuk mengawal aliran pelarian yang dijangkakan kerana tekanan daripada tentera Syria yang disokong Rusia dari selatan,” katanya.

Setakat ini, hampir 40,000 penduduk meninggalkan Idlib selepas Syria dan Russia memperhebatkan serangan udara di penempatan mereka sejak dua minggu lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan senario terburuk di mana kira-kira 900,000 orang awam akan melarikan diri dari Idlib, apabila serangan darat besar-besaran dimulakan.

Ankara juga mengulangi amaran kepada Russia dan rejim Syria, bahawa serangan ke atas Idlib akan menyebabkan satu lagi gelombang besar pelarian akan menuju Turki.

Sepanjang seminggu lalu, Turki mengerahkan bantuan dan penghantaran pelbagai struktur pertahanan ke kawasan pemantauan di Idlib.

Gurcan berkata, konfrontasi antara pasukan tentera Turki dan militan pro rejim Syria juga tidak dapat dielakkan jika serangan ke atas Idlib diteruskan.

Russia meneruskan kawalan ke atas ruang udara Syria, dan Turki pula tidak mungkin memulakan sebarang tindakan ketenteraan di Idlib tanpa persetujuan Moscow.

“Saya tidak menjangkakan serangan besar-besaran (oleh rejim Syria). Ia akan beransur-ansur menjadi pengepungan yang boleh berlangsung sehingga sembilan atau 10 bulan,” katanya.

Beliau berkata, Turki tidak mungkin menarik balik pemantau tenteranya jika pertempuran bermula.

“Post kawalan yang didirikan oleh Turki mendapat kebenaran Russia. Tujuan utama ialah menghalang militan pro-Syiah Iran dari Aleppo menuju Idlib,” katanya yang mendakwa Russia berusaha mengurangkan pembabitan Iran dalam hal ehwal dalaman Syria. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close