Berita UtamaUtama

Tunggakan GST: Husni, Johari akan dipanggil beri keterangan

PAC mula prosiding Rabu lalu, dengar keterangan Ketua Pengarah Kastam

BANGI, 4 Muharram 1440H, Jumaat – Dua bekas Menteri Kewangan II – Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani – akan dipanggil memberi keterangan mengenai isu tuntutan tunggakan bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST) bernilai RM19.4 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedua-duanya akan dipanggil meneruskan prosiding pada 25 September di hadapan PAC.

Beliau berkata, PAC juga akan memanggil beberapa saksi lain bagi memberikan penjelasan berhubung isu ini, dalam memastikan siasatan yang dijalankan itu dibuat secara menyeluruh.

Ronald berkata, PAC penggal ke-14 memulakan prosiding pertamanya pad 12 September dan 13 September lalu, dengan memanggil Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam.

“Manakala, pada Khamis, 13 September 2018 pula, Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah bersama Datuk Siti Zauyah Md Desa, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) yang mewakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan hadir di hadapan PACbagi memberi penjelasan mengenai isu yang sama.

“Pemilihan isu itu dipersetujui sebulat suara semua 13 ahli PAC memandangkan ia membabitkan kepentingan rakyat dan negara selepas perkara berkenaan dibangkitkan Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng dalam sidang Dewan Rakyat awal Ogos lalu, selaras dengan Perkara 77 (1)(d) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAC Parlimen tidak menetapkan sebarang garis masa bagi merumuskan siasatan berkenaan sebelum membentangkan laporannya ke Dewan Rakyat.

“Ingin ditegaskan juga bahawa selain 13 Ahli PAC yang dilantik daripada kalangan Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang, PAC Parlimen juga dianggotai wakil-wakil tetap (ex-officio) kementerian dan jabatan seperti Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Akauntan Negara dan Unit Perancang Ekonomi.

“Justeru, rumusan serta cadangan Laporan PAC Parlimen berhubung isu ini, sudah pasti mendapat input serta pandangan daripada ex-officio PAC Parlimen dalam memastikan laporan ini benar-benar komprehensif, telus serta menyeluruh sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat dan menjadi dokumen awam,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close