Berita UtamaKata PedangUtama

Kurang ajar dan Maszlee

'Kita harus menjadi manusia kurang ajar' - Allahyarham Usman Awang

ISU pelantikan Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan bantahan sekumpulan yang amat kecil mahasiswa universiti itu, menarik perhatian umum.

Bukan disebabkan penentangan terbuka kepada seorang pemain politik yang baru dilantik menjadi menteri, bukan juga kerana membabitkan sebuah universiti Islam, tidak juga disebabkan sekarang ini perhatian tertumpu kepada pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang kini dikuasai parti tamak haloba – DAP.

Dalam hal ini, Pedang ada dua pendapat.

Pertama: Pedang menjunjung perintah raja yang memperkenankan pelantikan Menteri Pendidikan.

Sedia maklum juga bahawa pelantikan Maszlee itu pastinya ‘ditunjuk’ oleh kerajaan yang ‘berkuasa’ memerintah Malaysia hari ini, yang berpendapat beliau sememangnya layak ‘menyertai semula’ UIAM, kerana pernah mengajar di situ.

Pengalaman Pedang – apabila berada di luar sesuatu organisasi, maka kita dapat melihat dan mengesan kelemahan organisasi itu, sekali gus boleh mengurus cara mengatasinya. Sebaliknya, kita tidak akan dapat melihat sebarang kelemahan jika berada di dalam organisasi itu.

Oleh itu, Pedang yang sekolah tak tinggi mana ini – tak macam mahasiswa UIAM atau universiti lain – berpendapat, biarlah Maszlee menjadi Presiden UIAM. Lagipun, beliau akan berusaha menjadikan UIAM sebagai ‘Oxford of the Muslim Countries’. Bagi dia peluang dalam keadaan beliau tidak mahu menerima gaji untuk jawatan itu.

Bukannya Maszlee boleh bawa UIAM masuk kubur. Dalam tempoh dua atau tiga tahun, kalau beliau gagal, rasanya beliau sendiri akan letak jawatan, itupun kalau beliau ada sifat malu. Atau bila sampai lima tahun, jika tidak berubah, rakyat, khususnya anak muda buatlah keputusan.

Kedua: Iya! Betul jika aktivis mahasiswa kata pelantikan itu menjejaskan autonomi universiti. Dan, hak mereka untuk membantah pelantikan itu harus dihormati, kerana mereka bimbang kuasa autonomi universiti akan hilang apabila ada campur tangan politik secara berlebihan.

Selain itu mereka menuntut supaya ‘tebu yang ditanam oleh PH dan Maszlee di bibir mulut’, iaitu untuk memberi autonomi tanpa campur tangan politik di institusi pengajian tinggi, ditepati.

Pedang akui, mahasiswa bimbang kerana dalam Perlembagaan UIAM menunjukkan Presiden juga berkuasa dalam setiap keputusan yang dibuat oleh universiti, termasuk melantik Timbalan Rektor. Dan, mahasiswa mesti buka mata serta telinga jika berlaku salah guna kuasa atau campur tangan politik dalam pengurusan universiti.

Cuma nasihat Pedang, kalau nak buat demo janganlah buat di dalam ‘rumah orang’. Siapa-siapa pun yang hendak berdemo, carilah tempat awam – di tempat letak kereta Kementerian Pendidikan pun boleh. Ini untuk mengelak ‘ludahan cybertrooper’ dan dituduh kurang ajar, tidak beradab.

Walaupun, Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang kata ‘kita harus menjadi manusia kurang ajar’, – tetapi biarlah ‘kurang ajar’ kita bertempat. Kesempatan ini, Pedang catat semula puisi ‘Kurang Ajar’ itu:

Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.

Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar
– Usman Awang

Seperkara lagi yang hendak Pedang kata ialah berkaitan pelantikan Mohd Nizam Morad sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pedang lihat pelantikan ini adalah ‘lantikan politik’, ada konflik kepentingan, kerana selain menjadi Setiausaha Politik kepada Maszlee, Nizam juga dikatakan menganggotai lembaga pengarah sebuah syarikat yang mengendalikan Varsity Mall – Magna Hartamas Sdn Bhd. Jadi eloklak, jika Nizam sendiri berfikir.

Kata Pedang: Empat profesor universiti buat kajian mengenai bodoh, dan mereka mendapati semakin berkuasa seseorang, semakin bodohlah dia.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close