Berita UtamaUtama

Kerajaan perlu kaji semula sebahagian janji manifesto

Bersatu akan memulakan penubuhan bahagian di Sarawak: Dr Mahathir

PETALING JAYA, 4 Muharram 1440H, Jumaat – Kerajaan Pakatan Harapan perlu mengkaji semula sebahagian janji manifestonya berikutan timbul kekangan tertentu untuk melaksanakannya, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, sekiranya sebahagian janji tersebut dilaksana ia akan mendatangkan kerugian besar kepada negara kerana negara kini berdepan pelbagai masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Sebab itu kita perlu kaji semula janji yang dibuat semasa kita percaya kita akan kalah (dalam Pilihan Raya Umum ke-14).

“Tapi sekarang kita menang, jadi sekarang sekatan-sekatan itu terkena kepada kita,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini.

Perdana menteri, bagaimanapun, tidak menyatakan janji-janji yang akan dikaji semula itu sama ada ia merujuk kepada 10 janji dalam 100 hari atau keseluruhan yang terkandung di dalam manifesto.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata Bersatu sedang menjalani proses penyusunan selaras dengan ketetapan dalam perlembagaannya bagi menghadapi mesyuarat agung yang akan diadakan September tahun depan.

Katanya, penyusunan itu termasuk penubuhan cawangan yang akan didaftar supaya setiap daripadanya dapat menghantar wakil ke mesyuarat bahagian.

“Seterusnya mesyuarat di peringkat bahagian dapat menghantar wakil ke mesyuarat agung,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa Bersatu akan memulakan penubuhan bahagiannya di Sarawak secepat mungkin.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close