Berita UtamaUtama

Kerajaan negeri teliti cadangan pembukaan tanah perkuburan Islam baharu

Kawasan berkeluasan 20.2 hektar akan dijadikan tanah perkuburan berpusat

JOHOR BAHRU, 4 Muharram 1440H, Jumaat – Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan kesesuaian pembukaan dua kawasan yang dicadangkan untuk dijadikan tanah perkuburan Islam yang baharu untuk masyarakat di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Aminolhuda Hassan berkata, kerajaan negeri sudah menerima cadangan tanah yang lebih luas itu daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan dalam proses perbincangan serta penelitian sebelum membuat sebarang keputusan.

“Beberapa kawasan perkuburan di daerah ini seperti Mahmoodiah dan Kebun Teh sudah penuh, manakala di kawasan yang lain seperti Bukit Alif pula sudah semakin padat.

“Kita memang sudah dalam perancangan dan perbincangan dengan IRDA yang mana pihak IRDA sudahpun membuat satu pembentangan kepada mufti dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sejak dari sebelum kerajaan baharu lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh di sini, hari ini.

Aminolhuda berkata, kawasan yang dicadangkan mempunyai keluasan kira-kira 20.2 hektar dan akan dijadikan tanah perkuburan berpusat yang boleh digunakan sehingga 20 tahun terutamanya dengan jumlah penduduk yang semakin meningkat.

Tambahnya, beliau juga akan memanggil pihak-pihak berkepentingan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian tentang masalah tanah perkuburan di daerah ini.

“Kita akan melakukan usaha yang terbaik dan akan tengok dari sudut fatwa mengenai kaedah terbaik untuk mengatasi kekurangan tanah perkuburan di kawasan ini.

“Kita akan buat urusan pengebumian yang lebih tersusun supaya mungkin jika seekar tanah boleh memuatkan 1,000 kubur, mungkin apabila ia lebih tersusun, 1,300 kubur boleh dimuatkan dalam setiap seekar,” katanya.

Program berkenaan turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin Mohd Izhar Ahmad yang turut bersama-sama dengan 50 orang masyarakat setempat, sama-sama bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan itu seawal jam 8 pagi tadi. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close