Berita UtamaUtama

Bukit Aman tahan 10 suspek pengganas rancang serang Melaka

Asoib, Ar Rayah Member bergabung dengan pengganas Timur Tengah

BANGI, 4 Muharram 1440H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap 10 suspek disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas, termasuk merancang melancarkan serangan di beberapa tempat maksiat di Melaka dan Pulau Pinang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua suspek berkenaan ditahan oleh Bahagian Menentang Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi antara 11 Ogos hingga 31 Ogos lalu, di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan serta Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamad Fuzi berkata, tangkapan pertama membabitkan lima suspek dikenali sebagai kumpulan Asoib di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu.

Beliau berkata, kelima-lima suspek berusia antara 39 hingga 53 tahun itu merancang untuk bergabung dengan satu kumpulan pengganas dari sebuah negara Timur Tengah bagi melancarkan serangan ke atas negara di sempadan.

“Sel ini akan dibekalkan pelbagai senjata oleh kumpulan pengganas sejurus mereka tiba di sana. Salah seorang anggota Asoib telah berlepas ke negara Timur Tengah berkenaan bagi membuat persiapan dan menyelaras operasi serangan.

“Kumpulan ini memberi tafsiran salah terhadap hadis mengenai Imam Mahdi akan muncul di Makkah pada tahun ini. Kumpulan ini seterusnya akan bergabung dengan ‘tentera Imam Mahdi’ untuk menyerang negara-negara sekular dan menentang dajjal,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, satu lagi kumpulan dikenali sebagai ‘Ar Rayah Member’ yang terdiri daripada lima anggota turut ditahan pada 25 Ogos dan 31 Ogos lalu di Melaka, Kelantan serta Pulau Pinang.

Beliau berkata, mereka berusia antara 18 hingga 50 tahun merancang melancarkan serangan bom asap di tempat-tempat maksiat sekitar Melaka.

“Turut dirampas adalah lima bom asap yang siap diproses. Serangan bom asap bertujuan menimbulkan suasana panik dan kegemparan kepada pengunjung pusat hiburan dengan harapan keadaan panik itu boleh mendatangkan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, susulan penangkapan suspek utama pada 25 Ogos di Melaka, polis menahan empat lagi anggota kumpulan sama pada 31 Ogos di Kelantan dan Pulau Pinang.

“Menarik perhatian adalah tangkapan ke atas seorang warganegara asing berusia 50 tahun yang bekerja sebagai peniaga restoran.

“Suspek adalah anggota kumpulan pengganas dari sebuah negara Asia Tenggara yang bertindak mempromosikan perjuangan kumpulan otu kepada anggota kumpulan Whatsapp Ar Rayah Member.

“Suspek juga berperanan mempengaruhi anggota kumpulan untuk menyumbang dana bagi kumpulan pengganas tersebut membeli senjata api dan peluru,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close