Berita UtamaUtama

RM2.973 bilion masuk akaun peribadi Najib

132 transaksi penggunaan wang haram dikenal pasti

BANGI, 3 Muharram 1440H, Khamis – Siasatan kewangan berkaitan kes 1MDB mendapati sebanyak RM2.973 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, 132 transaksi penggunaan wang haram telah dikenal pasti dan 64 individu sudah dirakam percakapan berhubung kes berkenaan.

Katanya, polis turut mengenal pasti lebih 50 individu dalam dan luar negara termasuk beberapa ahli politik menerima wang daripada transaksi tersebut.

“Siasatan kes ini mengambil masa kerana sukar untuk dapatkan keterangan saksi di luar negara.

“Kita perlu mendapatkan persetujuan ‘Mutual Legal Assistance (MLA)’ di negara terbabit, namun kita yakin ia dapat diselesaikan,” katanya.

Mengulas lanjut Rashid berkata, setakat ini polis telah memohon proses berkenaan melalui Jabatan Peguam Negara dengan negara terbabit seperti Singapura, Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Switzerland.

“Ikut peruntukan undang-undang, pihak berkuasa polis diperuntukkan setahun untuk menjalankan siasatan ke atas harta tersebut dan kita menafikan berhubung aset yang perlu dipulangkan dalam tempoh tiga bulan tanpa pendakwaan,” katanya.

Mei lalu, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Urus Setia Ketua Polis Negara telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Susulan itu, serbuan dibuat di lima buah premis dan pelbagai barangan seperti wang tunai RM114 juta, 12,080 unit barang kemas, 566 unit beg tangan, 437 utas jam tangan dan 234 cermin mata pelbagai jenama telah disita.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close