Berita UtamaDunia

Kosovo pula jalin hubungan diplomatik dengan negara haram Israel

Tel Aviv setuju permintaan rasmi Kosovo buka kedutaan di Baitulmaqdis

PRISTINA, 20 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Kosovo dan negara penjajah Israel menjalinkan hubungan diplomatik secara rasmi semalam, apabila negara majoriti muslim itu bersetuju membuka kedutaannya di Baitulmaqdis.

Dalam majlis yang diadakan secara dalam talian menggunakan aplikasi mesyuarat maya, Zoom di Pristina dan Baitulmaqdis, Menteri Hubungan Luar Kosovo, Meliza Haradinaj Stublla dan rakan sejawatnya dari Israel, Gabi Ashkenazi, menandatangani deklarasi bersama untuk menjalin hubungan diplomatik.

Gabi mengatakan bahawa dia bersetuju dengan permintaan rasmi Kosovo untuk membuka kedutaan di Baitulmaqdis.

Kosovo pula bersetuju untuk mengiktiraf negara haram Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dilakukan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada bulan September.

Kesepakatan itu juga termasuk janji Kosovo untuk menormalkan hubungan ekonomi dengan saingan dan jirannya Serbia, dan janji lain untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis.

“Hari ini Israel menjadi negara ke-117 yang mengiktiraf Kosovo sebagai negara yang merdeka dan berdaulat. 

“Mulai hari ini kita mulakan hubungan dua negara,” kata Meliza dalam majlis yang diadakan dalam talian kerana wabak coronavirus dan dihadiri oleh Timbalan Penolong Setiausaha AS, Matthew Palmer.

Washington mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel pada akhir 2017 dan memindahkan kedutaan AS ke sana pada Mei 2018, langkah yang dikritik oleh Palestin dan sebahagian besar masyarakat antarabangsa.

Negara haram Israel menganggap seluruh Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya yang tidak terbahagi, sementara Palestin melihat bahagian timur kota itu sebagai ibu kota negara masa depan mereka.

Meskipun kononnya menentang tindakan itu ketika ia berlaku, Presiden AS, Joe Biden mengatakan dia tidak akan memindahkan kedutaan AS dari Baitulmaqdis.

Kosovo juga mendedahkan, pihaknya bersedia untuk mengatur misi Israel di Baitulmaqdis, sebagai pertukaran untuk pengiktirafan Israel, kerana berusaha untuk mengesahkan lagi pengisytiharan kemerdekaan pada tahun 2008 dari Serbia dan kenegaraan.

Kosovo yang majoriti etniknya adalah Albania mengisytiharkan kemerdekaan dari Serbia pada tahun 2008, selepas kempen pengeboman pimpinan NATO untuk mengekang perang etnik.

Serbia, yang disokong oleh sekutu Kristian Slavik dan Ortodoks yang besar, Russia, tidak mengiktiraf kemerdekaan Kosovo. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button