PendapatUtama

Persoalan, tanda tanya terjawab

PRK PD menarik jika Timbalan Presiden UMNO tanding lawan Anwar

RAMAI yang pm (mesej secara peribadi) dan telefon saya tanya pendapat mengenai perkembangan ini. Ada yang setuju dan ramai juga yang tidak. Itu biasalah.

Pendapat saya secara peribadi, bercampur-campur mengenai keputusan PKR mengosongkan kerusi Parlimen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bertanding.

Setuju kerana memang mustahak untuk pemimpin tertinggi PKR dan bakal PM berada bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain dalam Parlimen.

Kehadiran beliau dalam Parlimen bukan sahaja boleh memperkuatkan PH, malah boleh membantu menjinakkan ramai pemimpin pembangkang dengan kuasa pidatonya yang padat dan pedas.

Tapi saya agak kurang setuju dengan ‘timing’ dan kerusi yang dipertandingkan oleh DSAI untuk PRK yang ke-4 ini selepas PRU14 bulan Mei lalu.

Pada hemat saya, sebagai seorang bakal Perdana Menteri (PM) dan dianggap ‘Bapa Reformasi’, DSAI boleh menang di mana-mana kerusi yang beliau bertanding. Sama ada di kubu kuat UMNO atau PAS, beliau pasti tidak ada masalah untuk menang dengan selesa dan bergaya.

Atas alasan itu, saya kurang setuju kerusi Port Dickson yang sudah memang dimiliki PKR/PH dikosongkan utk PRK kali ini. Kemenangan DSAI di situ tidak akan menambah jumlah kerusi untuk PH di Parlimen.

Saya percaya sebagai tokoh besar dan simbol reformasi, DSAI sepatutnya bertanding di kubu kuat UMNO dan merampas kerusi itu untuk memperkuatkan PH di Parlimen.

Saya percaya banyak kerusi Parlimen UMNO bakal dikosongkan tak lama lagi dan itulah masa yang tepat untuk DSAI bertanding. Tak kira di mana termasuk Pekan, Bagan Datoh, Semberong, Baling, Marang, Pengkalan Chepa, Ketereh, Bera atau mana sahaja kerusi Parlimen, termasuk Sabah dan Sarawak.

Bertanding di kubu kuat UMNO atau PAS juga boleh mengelakkan kata-kata yang bakal PM ke-8 tidak berani bertanding di tempat yang susah untuk menang. Ia juga boleh menyisihkan pendapat yang DSAI tidak berani mengambil risiko seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan lebih suka memilih tempat selamat untuk menang.

Kalau Dr M boleh rampas kerusi Parlimen Langkawi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 11,000, saya yakin bakal PM ke-8 tidak akan menghadapi masalah untuk menang dengan majoriti yang besar di mana sahaja beliau bertanding, termasuk di kerusi yang merupakan kubu kuat UMNO atau PAS.

Satu lagi perkara yang saya rasa boleh dielakkan ialah ‘timing’ atau masa PRK ini diadakan.

Kalau PRK di Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia, terpaksa diadakan kerana kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang sememangnya di luar kuasa kita, PRK di PD ini bukanlah sesuatu yang mendadak.

Rakyat baru saja melalui PRU14 yag begitu hebat dan sudah tentu pengundi juga merasakan bahawa PRK ini tidak perlu dibuat pada masa ini.

Rakyat mahu kerajaan PH lebih mengutamakan proses pemulihan ekonomi dan membantu mereka dengan program pembangunan yang lebih baik dan berkesan. Mereka sudah penat dengan politik.

Perkara ini jelas kelihatan melalui ketiga-tiga PRK yang baru selesai, di mana jumlah yang keluar mengundi begitu rendah.

Kedua ialah kedudukan kewangan negara yang kita sedia maklum sedang mengalami defisit yang amat parah. Kerajaan baru sahaja terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk PRK di Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia. Untuk mengadakan satu lagi PRK di PD yang dianggarkan berjumlah RM500,000 adalah kurang tepat dan membebankan.

Peruntukan itu sebaiknya digunakan untuk membantu rakyat dan memperkukuhkan ekonomi negara daripada mengadakan satu PRK yang sebenarnya tidak perlu.

Perkara ketiga ialah ‘timing’ PRK diadakan ketika PKR sedang sibuk mengadakan pemilihan untuk kepimpinan tertinggi parti tersebut.

Kita semua sedia maklum mengenai pertembungan Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli untuk kerusi Timbalan Presiden PKR. Begitu juga kerusi Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua AMK dan Exco yang seolah-olah ada pertembungan antara team Azmin dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Saya khuatir persaingan yang hebat antara dua team ini akan ada impak besar bukan sahaja kepada PKR, tapi kestabilan kerajaan PH memandangkan Azmin adalah seorang menteri kanan yang memegang portfolio penting.

Ketidakstabilan ini boleh memberi persepsi yang negatif kepada pelabur luar yang baru sahaja mula menyesuaikan diri dengan kerajaan PH pimpinan Dr M.

Kesibukan berkempen dalam PRK yang begitu berprofil tinggi kerana membabitkan DSAI juga mengundang fokus antarabangsa kepada Malaysia.

Sebagai sebuah kerajaan yang baru, saya percaya PM dan Kabinetnya lebih suka bekerja di bawah radar media antarabangsa dan melaksanakan pelan pembangunan dan pemulihan negara tanpa diganggu oleh satu PRK yang lebih besar daripada ketiga-tiga PRK sebelum ini.

Apa pun keputusan sudah dibuat dan kini tumpuan hanya kepada SPR untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Untuk rekod, PH/PKR memenangi kerusi PD ini dengan majoriti yang amat selesa iaitu hampir 18,000 mengalahkan calon BN yang diwakili MIC pada PRU14.

Secara logik, DSAI dengan dibantu pasukan pilihan raya yang kuat diketuai Rafizi dijangka akan menang mudah.

Tetapi ura-ura mengatakan BN bakal meletakkan Timbalan Presiden UMNO, dan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan pasti akan menjadikan PRK di Port Dickson lebih menarik.

Sama-sama lah kita menanti dan perhati.

Yusof Taib
Pemerhati politik

Penafian: Tulisan di atas adalah pendapat penulis dan tiada kaitan dengan Ismaweb.net.

 

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close