Berita UtamaDuniaUtama

Palestin fail aduan terhadap rejim Israel di ICC

PLO gesa percepat siasatan, penduduk Khan al-Ahmar dalam ancaman

RAMALLAH, 2 Muharram 1440H, Rabu – Palestin memfailkan aduan baharu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung tindakan kejam rejim pengganas Israel yang mahu menghapuskan perkampungan Khan al-Ahmar.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat berkata, dokumen aduan itu termasuk jenayah perang yang dihadapi oleh penduduk Khan al-Ahmar, khususnya jenayah paksaan untuk berpindah, pembersihan etnik dan kemusnahan harta awam.

Beliau berkata, PLO juga telah meminta Pendakwa ICC, Fatou Bensouda mempercepatkan siasatan awal terhadap jenayah perang Israel yang lain.

“Kami berharap agar siasatan kehakiman rasmi dapat dibuka secepat mungkin,” kata Saab.

Minggu lepas, Mahkamah Tinggi Israel telah meluluskan rancangan untuk merobohkan kampung Khan al-Ahmar di timur Baitulmaqdis.

Susulan itu, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan United Kingdom telah mengeluarkan kenyataan bersama untuk menyokong kampung itu.

Lima negara berkenaan telah menggesa rejim Tel Aviv untuk membatalkan rancangannya, dengan menegaskan tindakan Israel memberi kesan serius terhadap penduduk Palestin.

Pertubuhan hak asasi manusia memberi amaran bahawa perobohan kampung Khan al-Ahmar dapat membolehkan rejim Israel meneruskan dasar pencerobohannya di Palestin tanpa mengira undang-undang dan peraturan antarabangsa.

Keputusan Palestin untuk membawa isu Khan al-Ahmar kepada ICC muncul sehari selepas pentadbiran Presiden AS, Donald Trump mengumumkan bahawa ia menutup pejabat diplomatik PLO di Washington. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close