Berita UtamaDuniaUtama

Taufan terburuk bakal landa pantai timur Amerika

Sejuta penduduk diarah pindah, AS isytihar darurat di Virginia

CAROLINA, 1 Muharram 1439H, Selasa – Lebih sejuta penduduk Amerika Syarikat (AS) diarah berpindah berikutan apa yang dijangkakan sebagai taufan paling dahsyat yang akan melanda kawasan pantai timur dalam dekad ini.

Membawa angin selaju 220 kilometer sejam, Taufan Florence – ribut kategori 4 – dijangka semakin kuat dan boleh mencapai kategori 5, esok.

Taufan itu dijangka tiba di daratan di negeri-negeri sebelah tenggara Carolina Selatan atau Utara pada Khamis.

“Ini adalah ribut terburuk yang akan melanda Pantai Timur sejak beberapa tahun,” kata Presiden Donald Trump dalam Twitter.

Gabenor Carolina Selatan, Hendy McMaster mengarahkan sehingga sejuta penduduk di sepanjang pantai bahagian timur untuk meninggalkan rumah masing-masing bermula tengah hari tadi.

“Ini adalah taufan paling bahaya. Kami tidak mahu membahayakan walaupun satu nyawa di Carolina Selatan,” katanya sambil menambah bahawa pemindahan penduduk adalah wajib, bukan secara sukarela.

Arahan berpindah juga dikeluarkan di Outer Banks, barisan kepulauan yang popular dengan destinasi pelancongan, dan sebahagian daripada pantai Dare Country, di mana darurat diisytiharkan di Virginia.

Trump meluluskan perisytiharan darurat, dan membenarkan dana Persekutuan digunakan bagi membantu penduduk.

Taufan Florence berpotensi membawa banjir terburuk di sesetengah kawasan di timur AS yang kini dilanda hujan lebat.

Dalam laluan semasanya, taufan itu dijangka melanda Carolina Selatan, Carolina Utara dan Virginia dengan teruk.

“Jangan tumpu perhatian kepada laluan ramalan Taufan Florence. Kesan ketara akan meluas dan akan tiba lebih cepat daripada dijangkakan,” kata Pusat Taufan Kebangsaan.

Pada masa sama, Tentera Laut AS turut menempatkan kira-kira 30 kapalnya di luar pantai Virginia, sebagai persediaan memberi bantuan kecemasan. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close