Berita UtamaDunia

Tentera Israel bunuh 2 warga Palestin di Tebing Barat

Pembunuhan cetus tunjuk perasan secara besar-besaran

TEBING BARAT, 27 Rejab 1443H, Selasa – Tentera negara pengganas Israel membunuh dua rakyat Palestin ketika membuat tangkapan di utara Tebing Barat, kata pihak berkuasa kesihatan Palestin pada Selasa.

Agensi berita Palestin Wafa mengenal pasti kedua-dua mangsa sebagai Abdullah al-Hosari, 22, dan Shadi Khaled Najm, 18.

Polis sempadan negara haram Israel berkata, pegawai dan anggota polis yang menyamar memasuki kem pelarian Jenin untuk menahan seorang suspek ‘yang dikehendaki bagi aktiviti berkaitan keganasan’.

“Selepas suspek itu ditahan dan pihak berkuasa meninggalkan kediamannya, serangan senjata api dilancarkan terhadap mereka dari pelbagai arah.

“Ini memaksa anggota yang menyamar di lokasi bertindak balas dengan melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup,” katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, kedua-dua lelaki itu terbunuh dalam serangan berkenaan.

Selain itu, dua lagi rakyat Palestin dilaporkan cedera dan berada dalam keadaan kritikal.

Wafa turut melaporkan anggota tentera Israel juga menahan Imad Jamal Abu al-Heija, seorang bekas tahanan yang dibebaskan.

Pembunuhan kedua-dua warga Palestin itu mencetuskan ‘tunjuk perasan secara besar-besaran’ di Jenin.

Penahanan itu adalah antara beberapa siri serbuan berprofil tinggi oleh Israel yang berlaku sejak kebelakangan ini di beberapa bandar di Tebing Barat.

Bulan lalu, dalam serbuan di bandar Nablus, utara Tebing Barat, tentera rejim Zionis membunuh tiga rakyat Palestin yang disyaki melakukan serangan tembakan terhadap sasaran Israel.

Mereka ditembak ketika dalam kenderaan.

Ketiga-tiga lelaki itu dikenali sebagai Adham Mabrouka, Ashraf Mubaslat dan Mohammed al-Dakhil, kesemuanya anggota Briged Syahid Al-Aqsa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button