Berita UtamaDuniaUtama

Rejim Bashar bedil sekolah, bunuh 9 nyawa

Mayat seorang bayi perempuan ditemui tertimbus dalam runtuhan

DAMSYIK, 1 Muharram 1440H, Selasa – Rejim Bashar al-Assad hari ini meneruskan serangan pengeboman ke atas wilayah selatan Idlib, menyasarkan sebuah sekolah di bandar Jarjanaz sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa – kebanyakannya adalah kanak-kanak.

Beberapa serangan lain turut dilancarkan di bandar Al-Heesh, Al-Teh, Qalaat Al Madeeq dan Al-Janabra di wilayah utara Hama sejak petang semalam, sehingga memaksa kebanyakan orang awam melarikan diri ke sempadan Turki.

Serangan meluas itu telah menghalang pasukan pertahanan awam, White Helmets mengesahkan jumlah kematian, namun seorang bayi perempuan dilaporkan terbunuh selepas mayatnya ditemui dalam runtuhan.

Gabungan Revolusi Kebangsaan Syria dan Angkatan Pembangkang hari ini mengeluarkan satu kenyataan mengutuk serangan terbaharu, yang menyaksikan kemusnahan dua buah hospital.

“Rejim Bashar, Russia dan Iran sedang merancang dan melaksana siri baru jenayah perang dan jenayah kemanusiaan dengan tujuan untuk menyelesaikan projek perubahan demografi Syria tanpa sebarang pertikaian daripada masyarakat antarabangsa,” kata kenyataan itu.


Kumpulan itu mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera untuk melindungi rakyat Syria, sekali gus menggesa semua pihak mematuhi resolusi PBB.

Damsyik telah merancang serangan utama untuk mendapatkan semula Idlib dan kawasan bersebelahan barat laut. Wilayah itu adalah kubu kuat terakhir pembangkang Syria yang menjadi sasaran rejim Bashar.

White Helmets sebelum ini dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 28 orang awam terbunuh, dan puluhan yang lain cedera dalam serangan udara dan pengeboman rejim Bashar serta sekutu Russia di Idlib dan Hama sejak awal bulan ini.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close