Berita UtamaPendapatUtama

Derma Arab Saudi: Pendedahan Najib tambah kecurigaan

Najib kena jawab demi kebenaran di hadapan 32 juta rakyat Malaysia

1. Rakyat Malaysia dikejutkan dengan pendedahan Datuk Seri Najib Razak tentang derma dari Arab Saudi yang beliau terima – namun pendedahan beliau itu sebenarnya sama sekali tidak ‘membersihkan’ nama 1MDB, malah sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan dan kecurigaan yang besar.

2. Pendedahan ‘tergempar’ Datuk Najib itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas Singapura memulangkan RM45.9 juta wang 1MDB yang dicuri dan dibawa lari ke Singapura – hasil perintah Mahkamah Singapura yang memutuskan bahawa wang tersebut adalah diselewengkan daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan/atau anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Jika wang sebanyak itu – lebih banyak daripada pampasan penangguhan projek HSR – bukan wang curi, kenapa Singapura perlu memulangkannya kepada Malaysia?

3. Pendedahan Datuk Seri Najib juga sebenarnya tidak menghairankan sama sekali – sebaliknya membenarkan satu pertiga daripada tuduhan Wall Street Journal (WSJ) sejak 2016 yang lalu. Apakah kisah dua pertiga tuduhan lagi? WSJ memerihalkan secara terperinci kesemua tiga fasa besar transaksi wang 1MDB ke akaun Datuk Seri Najib dalam laporan bertajuk ‘How $1 Billion Made Its Way to the Prime Minister’ bertarikh 1 September 2016.

4. Pada Fasa Pertama, 1MDB meminjam sekitar USD1.8 bilion untuk usahasama dengan PetroSaudi International Ltd. USD1 bilion daripada wang berkenaan telah dipindahkan ke sebuah syarikat di Seychelles yang bernama Good Star Ltd.

5. Bagaimana wang tersebut kemudiannya dipindahkan ke akaun Datuk Seri Najib? Jawapannya melalui dua Putera Arab Saudi iaitu Putera Turki Bin Abdullah dan Putera Faisal Bin Turki Bin Bandar al-Saud di mana USD24.5 juta daripada wang yang dipindah ke Good Star tadi telah dimasukkan ke akaun Putera Turki Bin Abdullah.

6. Daripada USD24.5 juta itu, sebanyak USD20 juta telah dipindahkan ke akaun Datuk Najib Razak melalui Putera Faisal Bin Turki Bin Bandar al-Saud. Nah, hal inilah yang dinyatakan oleh Datuk Najib (beserta bukti transaksi) iaitu sebanyak USD20 juta yang dipindahkan ke akaun beliau adalah dari Putera Faisal. Manakala baki USD80 juta lagi dari Kerajaan Arab Saudi.

7. Apa yang tidak Datuk Najib terangkan ialah dakwaan transaksi USD24.5 juta dari Good Star ke akaun Putera Turki dan seterusnya USD20 juta dari akaun Putera Turki ke akaun Putera Faisal itu. Jika benar laporan WSJ ini palsu, kenapa Datuk Seri Najib tidak mendakwa portal tersebut ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri dahulu?

8. Tidak cukup setakat itu, jumlah yang dimasukkan oleh Putera Faisal ke akaun Datuk Najib dikatakan lebih daripada USD20 juta, dan sebenarnya mencecah USD120 juta di mana Malaysiakini dengan sumber ABC News, WSJ, dan juga Sarawak Report menunjukkan bahawa pada 25 Februari 2012 sebanyak USD50 juta telah dimasukkan, sebelum USD25 juta lagi dimasukkan pada 23 Mei tahun yang sama.

Hal yang menjadi persoalan ialah berapakah jumlah transaksi Putera Faisal ke akaun Datuk Najib pada 24 Februari 2011.

9. Sekali lagi timbul persoalan, mengapa tidak Datuk Seri Najib bersama-sama Putera Turki dan Putera Faisal dari Arab Saudi menyaman ABC News dan Wall Street Journal hingga bankrap dan binasa jika mereka melaporkan kepalsuan yang sebegini besar?

10. Pada Fasa Kedua pula, ia adalah melibatkan pembiayaan projek loji janakuasa di mana dua bon yang bernilai USD3.5 bilion telah dijual oleh Goldman Sachs bagi pihak 1MDB.

11. 1MDB sepatutnya membayar jaminan ke atas bon tersebut kepada syarikat Aabar Investments PJS, iaitu sebahagian daripada Abu Dhabi’s International Petroleum Investment Company IPIC (kemudiannya kepada IPIC inilah 1MDB terpaksa membuat pembayaran beserta denda kerana wang yang sepatutnya dimasukkan ke akaun mereka telah diseleweng ke akaun syarikat penyamar yang lain!).

12. Sekitar USD1.37 bilion yang sepatutnya dimasukkan ke akaun ‘Aabar Investments PJS’ sebaliknya telah dimasukkan ke akaun ‘Aabar Investments PJS Ltd.’, iaitu sebuah syarikat di British Virgins Island (BVI) yang menyamar dengan nama yang hampir sama dengan syarikat asal yang sama sekali tiada kaitan dengan IPIC.

13. Jika laporan ini tidak benar, maka mengapa 1MDB kemudiannya di bawah Arul Kanda terpaksa berhempas-pulas untuk membayar ‘hutang’ kepada IPIC sedangkan sepatutnya 1MDB pertahankan bahawa mereka sudah pun membuat pembayaran kepada ‘Aabar Investments PJS’? Bukankah jelas di sini bahawa ‘Aabar Investments PJS Ltd’ bukanlah ‘Aabar Investments PJS’ dan 1MDB ditipu (atau menipu) di siang hari?

14. Kemudian timbul persoalan dari mana 1MDB memperoleh wang untuk membayar hutang kepada IPIC tersebut yang antaranya berjumlah sebesar USD602.7 juta? Jawapannya dengan menjual aset 1MDB kepada China seperti laporan Straits Times bertajuk ‘Malaysia’s 1MDB settles debt owed to Abu Dhabi with China backing’ bertarikh 27 Disember 2017.

15. Daripada USD1.37 bilion yang dimasukkan ke syarikat yang palsu itu (Aabar Investments PJS Ltd), sekitar USD637 juta telah dimasukkan ke akaun syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners (juga di BVI).

16. Sebanyak USD463 juta pula telah disalurkan ke dua dana bersama (mutual funds) di Caribbean iaitu USD291 juta ke Cistenique Invesment Fund Curaçao, dan USD172 juta ke Enterprise Emerging Markets Fund Curaçao sebelum kedua-duanya menyalurkan kembali dana tersebut kepada Blackstone Asia Real Estate Partners.

17. Blackstone Asia Real Estate Partners inilah yang kemudiannya didakwa memindahkan sebanyak USD170 juta ke akaun peribadi AmBank Najib Razak melalui beberapa transaksi pada 2012. Sekali lagi, jika dakwaan WSJ ini palsu, mengapa Datuk Najib tidak mengheretnya ke muka pengadilan ketika beliau masih lagi seorang Perdana Menteri yang berkuasa menjelang Mei 2018?

18. Fasa ketiga pula melibatkan usahasama hartanah 1MDB dan Abu Dabi. Bon bernilai USD3 bilion telah sekali lagi dijual bagi pihak 1MDB oleh Goldman Sachs untuk usahasama ini.

19. Daripada USD2.72 bilion yang 1MDB peroleh selepas membayar kepada Goldman Sachs, sekitar USD1.27 bilion telah dimasukkan secara berperingkat-peringkat, melalui beberapa syarikat perantara di British Virgin Island dan Caribbean, ke akaun sebuah lagi syarikat di British Virgin Island (BVI) iaitu Tanore Finance Corp.

20. Tanore Finance Corp kemudiannya didakwa menyalurkan sebanyak USD680 juta ke akaun peribadi AmBank Najib Razak sekitar pada 2013.

21. Maka, jumlah keseluruhan dana yang dimasukkan ke akaun Datuk Najib ialah USD1.05 bilion di mana seperti menurut WSJ – dan kemudiannya ditunjukkan sendiri oleh Datuk Najib – hanya USD80 juta sahaja daripadanya adalah hasil sumbangan dari Kerajaan Arab Saudi (rujuk isi dalam Fasa Pertama di atas).

22. Datuk Seri Najib kini perlu memberi penjelasan kepada baki USD680 juta dari Tanore Finance, USD120 juta dari Putera Saudi Faisal Bin Turki, dan USD170 juta dari Blackstone Asia Real Estate Partners.

23. Datuk Seri Najib juga perlu menjawab persoalan berikut: Mengapa tidak Datuk Seri dedahkan KESEMUA bukti transaksi 1MDB-Tanore Finance-Putera Faisal-Blackstone Asia Real Estate Partners?

Lebih menghairankan, mengapa tidak dari dulu didedahkan kesemua bukti ini ketika maruah Datuk Seri dan maruah negara dipijak-pijak kuasa besar dunia? Malah mengapa pendedahan terbaru Datuk Seri hanya sekadar transaksi Putera Faisal dan Kerajaan Arab Saudi kepada Datuk Seri?

Mengapa tidak Datuk Seri Najib bersama-sama Putera Turki dan Putera Faisal dari Arab Saudi menyaman ABC News dan Wall Street Journal hingga bankrap dan binasa jika mereka melaporkan kepalsuan yang sebegini besar? Mengapa Singapura memulangkan RM45.9 juta yang diisytiharkan sebagai wang curi daripada 1MDB kepada Malaysia?

Mengapa 1MDB terpaksa membayar sebesar USD602 juta kepada IPIC sedangkan sepatutnya 1MDB pertahankan bahawa mereka sudah pun membuat pembayaran kepada ‘Aabar Investments PJS’? Bukankah jelas di sini bahawa 1MDB telah ditipu (atau pun menipu) di siang hari?

Mohon Datuk Seri Najib menjawab kesemua soalan wajib ini – sekali pun nyawa dan maruah Datuk Seri menjadi galang ganti – demi kebenaran di hadapan 32 juta rakyat Malaysia.

Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Penafian: Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tiada kaitan dengan Ismaweb.net. 

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close