Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaPalestinUtama

Negara pembuli hendak tutup pejabat Palestin di Washington

Keputusan Donald Trump menunjukkan AS lindungi jenayah Zionis

WASHINGTON, 29 Zulhijjah 1439H, Isnin – Negara pembuli, Amerika Syarikat (AS), terus memberi tekanan kepada rakyat Palestin, apabila berita terbaharu melaporkan bahawa, sekutu kuat rejim pengganas Israel itu, bakal menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di sini, dan menghentikan dana kepada pergerakan itu.

The Wall Street Journal (WSJ) memetik pegawai AS sebagai berkata, pengumuman mengenai tindakan itu akan dibuat Isnin, sehari selepas sambutan ulang tahun ke-15 ‘Surat Pengiktirafan Bersama’ antara Palestin dan Israel yang ditandatangani pada 9 September 1993.

Ini adalah tindakan terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump, selepas seminggu mengumumkan AS akan memotong bantuan ekonomi berjumlah AS$200 juta kepada rakyat Palestin.

WSJ yang melihat deraf ucapan pengumuman itu berkata, Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton, akan menyalahkan Palestin kerana gagal menyambung semula rundingan damai dengan Israel.

“AS akan berdiri bersama rakan dan sekutunya, Israel. Pentadbiran Trump tidak akan membenarkan pejabat (PLO) dibuka apabila Palestin enggan memulakan rundingan damai terus dengan Israel,” lapor WSJ memetik kandungan deraf ucapan itu.

Mengulas tindakan terbaharu AS itu, Setiausaha Agung PLO, Saeb Erekat berkata, tindakan menutup misi diplomatik adalah satu lagi pengesahan bahawa polisi pentadbiran Trump untuk menghukum rakyat Palestin secara kolektif, termasuk memotong bantuan kewangan kepada kemanusiaan, seperti kesihatan dan pendidikan.

Katanya, keputusan itu juga menunjukkan AS bersedia untuk mengetepikan keputusan antarabangsa, bagi melindungi jenayah dan serangan Israel terhadap tanah dan rakyat Palestin serta menentang keamanan di rantau itu.

Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa hak rakyat Palestin bukan untuk dijual.

“Kami tidak akan tunduk kepada ancaman dan buli AS, dan kami akan meneruskan perjuangan sah kami untuk kebebasan, keadilan, dan kemerdekaan, termasuk segala cara politik dan tindakan perundangan.

“Sehubungan itu, kami akan terus mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk membuka segera siasatan ke atas jenayah yang dilakukan rejim Israel,” katanya.

Trump sebelum ini, mendesak Palestin menyambung semula rundingan damai dengan Israel. Antara agenda rundingan itu ialah menggesa Palestin mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, tetapi ditolak oleh Palestin. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close