Berita UtamaDuniaUtama

Isu Rohingya: ‘Terus beri tekanan kepada Myanmar’

Bangladesh sanggup buka sempadan walaupun ada kesan negatif pada negara

DHAKA, 29 Zulhijjah 1439H, Isnin – Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menggesa masyarakat antarabangsa termasuk Bank Pembangunan Islam (IDB),untuk meningkatkan tekanan terhadap Myanmar bagi memastikan penghantaran balik ratusan ribu etnik minoriti Islam Rohingya ke negara itu.

“Walaupun terdapat kesan negatif terhadap sumber, ekologi dan penduduk tempatan di negara ini, tetapi Bangladesh membuka sempadan untuk memberi perlindungan kepada sejumlah besar muslim Rohingya atas dasar kemanusiaan.

“Saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah tertentu bagi meningkatkan tekanan ke atas Myanmar supaya melaksanakan perjanjian (menghantar pulang) pelarian,” katanya ketika berucap merasmikan hab serantau IDB, semalam.

Sehingga kini, lebih 700,000 pelarian Rohingya berlindung di sempadan Bangladesh sejak operasi pembersihan etnik di Rakhine pada Ogos tahun lalu.

Pada November, Bangladesh dan Myanmar mencapai perjanjian untuk memulakan proses penghantaran pulang pelarian Rohingya dalam tempoh dua bulan ke Rakhine.

Sehingga kini, perjanjian penyelesaian antara kedua-dua negara itu gagal dicapai, malah telah menimbulkan ketegangan selain menguji dasar hubungan jiran antara Bangladesh-Myanmar.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close