Berita UtamaDuniaUtama

HRW ajak boikot komunis China

Pemantau hak asasi bantah Beijing tahan lebih sejuta umat Islam

BEIJING, 29 Zulhijjah 1439H, Isnin – Pemantau hak asasi manusia (HRW) mengajak komuniti antarabangsa mengenakan sekatan ke atas China, berikutan layanan negara itu terhadap warga minoriti di wilayah Xinjiang, termasuk menahan lebih sejuta umat Islam.

China telah lama mengenakan sekatan yang keras terhadap kehidupan umat Islam di wilayah berkenaan atas alasan memerangi keganasan dan kumpulan pemisah.

Menurut anggaran yang dipetik oleh panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai diskriminasi kaum, bulan lalu, lebih sejuta etnik Uyghur dan minoriti muslim Turki lainnya ditahan di beberapa pusat ekstremisme.

Sebagai tindak balas kepada Beijing, masyarakat antarabangsa perlu mengenakan sekatan bersasar terhadap pegawai China yang terbabit dengan penyalahgunaan kuasa di Xinjiang, kata HRW dalam satu laporan terperinci mengenai penindasan China di rantau itu.

Kerajaan China sebelum ini melarang sebarang laporan di Xinjiang, dan menghalang pendedahan mengenai keadaan itu dibuat.

Namun, keterangan dalam bentuk dokumen kerajaan dan kesaksian pelarian, membuktikan bahawa rejim komunis China mengasingkan sejumlah besar penduduk di dalam kem tahanan dan dipaksa melalui indoktrinasi politik dan budaya.

Laporan HRW juga mengatakan tahanan di kem berkenaan dipaksa belajar bahasa Mandarin, menyanyikan lagu propaganda memuji Parti Komunis China. Mereka yang enggan atau dianggap gagal belajar, akan dihukum, sementara hak mendapatkan peguam dan bertemu keluarga, tidak diberikan.

HRW juga berkata, sejak kebelakangan ini tindakan lebih keras diambil ke atas penduduk minoriti Xinjiang, termasuk pengecaman wajah dan pengambilan DNA, bagi mengawal populasi.

Mendakwa telah menemubual bekas tahanan yang melarikan diri dari negara itu, HRW juga menyifatkan tahanan di dalam kem berkenaan turut didera secara mental dan fizikal. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close